Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sektor pertanian catat sumbangan RM15.1 bilion KDNK Sarawak
  • TEMPATAN

Sektor pertanian catat sumbangan RM15.1 bilion KDNK Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
RASMI…Dr Abdul Rahman diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau merasmikan Pembukaan Sarawak Agrofest Limbang 2026. 

LIMBANG: Sektor pertanian merupakan antara penjana ekonomi utama bagi pertumbuhan mampan dan inklusif apabila menyumbang sebanyak RM15.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata sektor pertanian merupakan antara sektor yang amat penting dalam memacu pembangunan ekonomi Sarawak.

Katanya, di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), sektor ini menyokong ekosistem rantaian bekalan yang komprehensif bermula daripada pengeluaran di ladang, perkhidmatan logistik, pemprosesan hiliran, hinggalah kepada aktiviti pemborongan dan eksport.  

“Ingin saya maklumkan bahawa pada tahun 2024, sektor pertanian telah menyumbang sebanyak RM15.1 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 247,000 orang.

Kelapa sawit kekal sebagai penyumbang terbesar dan merupakan komoditi eksport kedua utama Sarawak dengan nilai sebanyak RM 16.3 bilion pada tahun 2024. Tidak dapat dinafikan, sumbangan industri sawit amat signifikan dalam memperkukuhkan ekonomi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail pada majlis Pembukaan Sarawak Agrofest Limbang 2026 di perkarangan Lot 777, Limbang, hari ini.

Bagaimanapun katanya dari sudut dagangan makanan, Sarawak masih mencatatkan defisit berjumlah RM6.64 bilion pada tahun 2025, iaitu peningkatan sebanyak 3.1 peratus berbanding RM6.44 bilion pada tahun sebelumnya.

AGROFEST…Dr Abdul Rahman bersama sebahagian yang hadir pada Pembukaan Sarawak Agrofest Limbang 2026.

Justeru, beliau berkata bahawa Kerajaan Sarawak komited untuk mentransformasikan sektor pertanian agar lebih berdaya saing dan berorientasikan teknologi moden.

Transformasi ini, katanya, bukan sekadar satu keperluan malah merupakan peluang untuk mengangkat potensi Sarawak sebagai hab pengeluaran makanan bagi menjamin keterjaminan makanan pada masa hadapan.

Jelasnya bagi merealisasikan misi ini, rakyat perlu memanfaatkan teknologi, analitik data, dan penyelidikan saintifik (R&D) untuk mengoptimumkan hasil, mengurangkan pembaziran, dan meningkatkan kelestarian.

Beliau berkata Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya telah menetapkan keterjaminan makanan dan pengindustrian agromakanan sebagai keutamaan strategik di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13).

Pendekatan ini katanya dipacu melalui inisiatif utama seperti pertanian pintar, pembangunan zon pengeluaran agromakanan bersepadu, serta pengukuhan rantaian nilai antara peladang dan pasaran. 

“Langkah proaktif ini bertujuan memastikan transformasi pertanian Sarawak dipacu oleh teknologi bagi mencapai matlamat utama iaitu kerterjaminan dan keselamatan makanan, menjana pendapatan bagi komuniti tani, dan menjadikan Sarawak sebagai pengeksport bersih makanan menjelang 2030,” ujarnya lagi.

Oleh Adeng Edrus

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Abang Johari hadiri solat Jumaat, teruskan lawatan rasmi di Miri
Next: Laksa Sarawak julang emas di pentas antarabangsa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.