KUCHING: Kerajaan merancang melahirkan lebih ramai saintis terutama dalam bidang pembuatan kaca berkualiti tinggi di negeri ini menjelang 2030.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin, dengan tertubuhnya Pusat Sains Sarawak di Petra Jaya usaha tersebut akan dapat dilaksanakan sekali gus mengubah keadaan negeri ini terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Ketika saya menjadi Menteri Industri satu ketika dulu, saya pernah ke Jepun dan berkunjung ke sebuah syarikat yang menghasilkan kaca berkualiti tinggi.
“Saya tanya mereka bagaimana kaca ini dihasilkan dan dimana mereka memperoleh pasir silika.
“Mereka memberitahu saya bahawa pasir silika ini mereka beli dari Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Sains Sarawak yang dijangka siap 2024 di sini, semalam.
Oleh itu, Kerajaan Sarawak menghadkan eksport pasir silika ke Jepun kerana beliau yakin negeri ini akan melahirkan saintis yang dapat mengubah Sarawak pada tahun 2030 dalam bidang pembuatan kaca berkualiti tinggi.
“Kita jual pasir silika ke Jepun dan mereka buat kaca dan mikrosop berkualiti tinggi daripada pasir negeri kita di Bintulu.
“Syarikat di Jepun menjual kaca tersebut dengan harga 400 kali ganda dari harga pasir silika tersebut.
“Sebab itu saya hadkan penjualan pasir silika ke negara tersebut dan akan membawa teknologi membuat kaca berkualiti tinggi ke Sarawak,” ujarnya lagi.
Sekiranya negeri ini mempunyai saintis yang pakar dalam penghasilan kaca berkualiti tinggi dan boleh menambah nilai kepada pasir silika berkenaan, maka negeri ini dapat menghasilkan kaca buatan Sarawak sekali gus mengurangkan kebergantungan dengan negara Jepun.
Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato’ Sri Michael Manyin Jawong.
Oleh Nur Ain Otsman