AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir mahu lebih ramai belia dari daerah Kabong berjaya di dalam bidang sukan hingga peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata akan sedaya upaya memberikan sokongan moral serta bantuan kepada penduduk di Kabong terutamanya golongan belia agar golongan itu tidak akan ketinggalan serta menaikkan nama Kabong dalam pelbagai bidang sukan ke peringkat lebih tinggi.
“Setiap belia terutamanya kepada golongan pelajar sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong diseru untuk mengambil peluang melibatkan diri dalam aktiviti sukan sekolah amnya, bagi menonjolkan bakat masing-masing dalam bidang sukan yang diceburi.
“Ambil peluang ini sebagai batu loncatan untuk mengasah bakat anda, agar pihak sekolah mampu melatih anda untuk menjadi atlet yang berkebolehan bagi mewakili sekolah, daerah, negeri ataupun negara satu hari kelak seperti atlet-atlet lain yang telah membanggakan nama negara masa kini,” katanya.
Justeru, beliau yakin dan percaya satu hari nanti daerah Kabong juga akan melahirkan ramai atlet yang berjaya diperingkat sukan yang berprestij tinggi seperti SUKMA, Sukan SEA, Sukan Olimpik dan sebagainya.
“Saya berharap pihak berkenaan dan juga ibu bapa bersedia untuk bersama-sama menjadikan daerah Kabong ini sebagai salah sebuah daerah yang akan membekalkan negara kita dengan atlet-atlet yang cemerlang di pelbagai peringkat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Petanque Tertutup Kabong yang berlangsung di Gelanggang Petanque Pantai Tanjung Kembang, baru-baru ini.
Pertandingan yang julung kalinya diadakan itu telah dianjurkan oleh Pejabat Pusat Khidmat DUN Kabong dengan kerjasama Kelab Petanque Kabong.
Chee Kadir berkata penganjuran sukan petanque di daerah ini mampu menjadi platform melahirkan pelapis dalam sukan berkenaan serta dapat memberikan pendedahan serta meningkatkan kemahiran dalam sukan petanque yang semakin popular dewasa ini.
Menurutnya, melalui acara seumpama itu dan pendedahan terhadap sukan tersebut, beliau yakin suatu hari nanti kita bakal mempunyai pelapis yang hebat seterusnya mewakili Kabong mahupun negeri atau Malaysia dalam sukan petanque.
“Saya berharap komuniti petanque di Kabong ini dapat mengetengahkan bakat-bakat anak muda agar ia bukan sahaja dapat menyediakan generasi pelapis, tetapi juga pemain petanque yang berpotensi untuk menjadi wakil dari Kabong di masa hadapan.
“Saya berharap dengan adanya gelanggang petanque ini , dan akan siap sepenuhnya tidak lama lagi akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi pembangunan sukan di daerah ini yang mempunyai berpotensi besar untuk melangkah pergi lebih jauh,” katanya.