KUALA LUMPUR: Penyanyi Faizal Tahir percaya lagu patriotik tidak semestinya perlu digarap dengan susunan muzik yang bersemangat, sebaliknya kekuatan lirik dan melodi yang ikhlas lebih berkesan dalam menyentuh hati pendengar serta menyemai rasa cinta terhadap negara.
Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 48, berkata sesebuah karya seharusnya mampu meninggalkan mesej bermakna buat pendengar, terutamanya generasi muda yang bakal mewarisi masa depan negara.
“…kita kena tengok apa yang kita nak cari daripada lagu itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Sesi Ramah Mesra Bersama Faizal Tahir di Bendang KL, di sini baru-baru ini.
Pelantun lagu Mahakarya Cinta itu berkata pendekatan terhadap generasi muda termasuk generasi Z dan Alfa perlu mengambil kira kecenderungan mereka yang lebih mudah menerima karya dengan muzik yang ringan dan tidak terlalu kompleks.
Pada masa sama, beliau mahu karya sedemikian kekal relevan untuk dinikmati generasi lebih berusia tanpa mengetepikan nilai serta mesej yang ingin disampaikan.
Faizal berkata keinginan untuk menghasilkan karya berunsur patriotik itu turut dipengaruhi oleh pengalaman hampir dua dekad beliau dalam industri muzik, selain tanggungjawabnya sebagai bapa dan pemerhatiannya ketika melawat negara luar.
“Saya tidak boleh duduk dekat Parlimen, saya tidak boleh buat kerja-kerja mentadbir negara. Jadi apa yang saya boleh buat sebagai seorang rakyat Malaysia, inilah sumbangan saya, ” katanya.
Berkongsi tentang persiapan konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada 3 Okt depan di Unifi Arena, beliau berkata latihan kini sedang giat dijalankan dengan tumpuan turut diberikan kepada tahap kesihatan bagi memastikan persembahan berjalan lancar.
Dari segi lagu, beliau berkata sebanyak 27 buah lagu akan dipersembahkan pada konsert yang mengangkat tema “Suara Rakyat” itu.
“Muzik mempunyai tempat yang sangat penting dalam masyarakat dan komuniti untuk menyampaikan satu mesej. Konsert Suara Rakyat ni adalah untuk menyampaikan mesej kita sebagai rakyat Malaysia boleh duduk sekali, duduk bersama-sama, mempertahankan negara kita,” katanya.
Setakat ini, kira-kira 80 peratus tiket telah dijual. – Bernama




