
KUALA LUMPUR: Lebih dua dekad menyepi, penyanyi Krisya kembali ke persada hiburan tanah air selepas ditawarkan merakam semula lagu Keluang Man yang pernah melonjakkan namanya ketika usia remaja.
Krisya atau nama sebenarnya Krisya Norsabrina Roslan, 43, mengakui tidak menyangka lagu yang dirakam semasa beliau di Tingkatan Satu itu masih diingati dan kini beliau diberi peluang untuk menyanyikannya semula bagi versi layar lebar.
“Lagu itu kerja pertama saya sebagai penyanyi. Saya rakam lagu itu terlebih dahulu dan setahun selepas itu barulah kartun Keluang Man disiarkan.
“Masa itu saya tidak berfikir panjang sebab seronok dapat menyanyi untuk kartun. Tak sangka pula lagu itu kekal sampai sekarang,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis pelancaran treler rasmi filem Keluang Man, baru-baru ini.
Menurutnya, beliau menerima tawaran merakam semula lagu tersebut daripada Astro Shaw selaku penerbit filem Keluang Man, pada penghujung 2023.
“Masa Astro Shaw beri tawaran itu, saya masih tinggal di Bosnia bersama-sama suami dan empat anak. Kami menetap di sana selama tujuh tahun, tapi sekarang saya sudah hampir setahun kembali ke Malaysia.
“Saya langsung tidak tahu tentang filem Keluang Man. Apabila Astro Shaw buat panggilan video, barulah saya tahu mereka dah lama cari saya, dalam empat hingga lima bulan, mungkin sebab saya tidak aktif di media sosial,” katanya.
Bangga dapat menjadi sebahagian daripada legasi Keluang Man, Krisya berkata rakaman semula lagu tema tersebut menampilkan susunan muzik yang lebih rancak namun masih mengekalkan elemen asal dan melibatkan kerjasama dengan Sekumpulan Orang Gila (SOG).
“Memandangkan saya sudah lama tidak menyanyi, memang ada cabaran dari segi vokal, terutama pada bahagian nada tinggi. Namun selepas beberapa kali mencuba, saya mula biasakan diri. Lirik pun saya masih ingat sepenuhnya sebab lagu ini memang dah sebati dengan saya. Cuma rentak baharu ini lebih laju,” katanya yang turut mengambil kelas vokal dan menjaga diet sebagai persediaan.
Walaupun kini memberi tumpuan kepada karier nyanyian, Krisya tidak menolak untuk mencuba bidang lakonan sekiranya ditawarkan watak bersesuaian.
“Saya terbuka untuk pelbagai genre juga, tapi buat masa ini fokus saya pada nyanyian kerana lakonan memerlukan komitmen masa yang panjang, sedangkan saya juga perlu menguruskan keluarga,” katanya.
Filem Keluang Man arahan Anwari Ashraf menampilkan barisan pelakon popular antaranya Nas Muammar Zar (Nas-T), Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Halim Othman, Anwaar Beg Moghal, Shweta Sekhon, Amelia Henderson, Sham Sunder dan Dennis Yin, dan dijadual ditayangkan di pawagam seluruh negara mulai 29 Mei ini.
— Bernama