Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Kursus pra-perkahwinan benteng awal bina keluarga harmoni, kukuh
  • TEMPATAN

Kursus pra-perkahwinan benteng awal bina keluarga harmoni, kukuh

Utusan Sarawak 9 hours ago
SALAH seorang peserta menerima sijil bikah daripada Datuk Amar Fadillah Yusof pada Majlis Penangguhan Selangkah ke Jinjang Pelamin – Kursus Pra Perkahwinan Petra Jaya Siri Ke-4, di Pusat Penerangan Islam Sarawak(IIC) hari ini.

PETRA JAYA: Kursus pra-perkahwinan bukan sekadar memenuhi syarat sebelum mendirikan rumah tangga, sebaliknya menjadi platform penting dalam melengkapkan bakal pasangan suami isteri dengan ilmu, kemahiran dan persediaan bagi membina institusi keluarga yang kukuh serta harmoni.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, keluarga merupakan institusi paling penting dalam pembangunan individu, masyarakat dan negara, justeru program seperti Kursus Pra-Perkahwinan Petra Jaya perlu diteruskan serta diperkasakan bagi melahirkan pasangan yang lebih bersedia menghadapi alam perkahwinan.

Menurutnya, kursus berkenaan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta bukan sahaja mengenai hukum-hakam, hak dan tanggungjawab suami isteri, malah aspek lain seperti pengurusan kewangan, kesihatan, komunikasi, penyelesaian konflik serta kemahiran keibubapaan.

“Alam perkahwinan bukan hanya ketika sedang bercinta kerana setiap pasangan pasti akan melalui pelbagai cabaran selepas berumah tangga. 

“Sebab itu kursus pra perkahwinan penting untuk memberi kefahaman tentang cara menghadapi cabaran dan menyelesaikan masalah dengan baik supaya rumah tangga dapat dipertahankan sehingga ke akhir hayat.

“Kita mahu setiap pasangan mengetahui bahawa perkahwinan ialah satu ibadah dan amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Selangkah ke Jinjang Pelamin – Kursus Pra Perkahwinan Petra Jaya Siri Ke-4, di Pusat Penerangan Islam Sarawak(IIC) di sini, hari ini.

Fadillah turut menggalakkan bakal pengantin menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum berkahwin sebagai langkah awal memastikan kesejahteraan keluarga pada masa hadapan.

Beliau berkata, saringan kesihatan termasuk ujian darah mampu membantu mengenal pasti risiko penyakit tertentu seperti talasemia yang berpotensi memberi kesan kepada zuriat, sekali gus membolehkan pasangan membuat persediaan sewajarnya.

“Ini bukan bermaksud kita menolak ketentuan Allah SWT, tetapi sebagai ikhtiar dan usaha untuk mengurangkan risiko serta memastikan kehidupan berkeluarga tidak dibebani masalah kesihatan yang boleh dielakkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan proses menimba ilmu tidak seharusnya terhenti selepas berkahwin kerana perubahan zaman dan perkembangan teknologi menuntut ibu bapa sentiasa meningkatkan pengetahuan dalam membesarkan anak-anak.

Katanya, kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) bakal membawa cabaran baharu kepada masyarakat, justeru ibu bapa perlu bersedia membimbing anak-anak berlandaskan nilai agama, budaya dan norma yang betul.

“Keadaan akan sentiasa berubah. Sebab itu kita perlu terus belajar sepanjang hayat supaya mampu membentuk keluarga dan anak-anak yang berakhlak serta bersedia menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Program Selangkah ke Jinjang Pelamin – Kursus Pra-Perkahwinan Petra Jaya Siri Ke-4 yang melabuhkan tirainya hari ini berjaya menghimpunkan 254 peserta, sekali gus merekodkan penyertaan tertinggi sejak ia diperkenalkan empat siri lalu.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Petra Jaya dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) itu bertujuan memperkukuh institusi kekeluargaan melalui penyediaan pendidikan awal kepada bakal pasangan suami isteri.

Setiap peserta didedahkan kepada pelbagai aspek penting kehidupan berumah tangga termasuk komunikasi, pengurusan kewangan keluarga, pendidikan anak-anak dan penyelesaian konflik. 

Program berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan hasil yuran penyertaan yang rendah iaitu RM50 seorang.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: Perpaduan kukuh pemangkin pelaksanaan projek berimpak tinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.