KUCHING: Pengusaha pengangkutan disaran mengurangkan kos kadar tambang bagi membolehkan pengundi pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) 19 November nanti.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengusaha bas dan bot ekspres juga diharap dapat melakukan perkara sama.
“Kita harap supaya mereka yang terlibat dapat mengurangkan tambang kapal terbang, bas dan bot ekpres.
“Ini adalah satu perkara yang penting supaya rakyat boleh balik ke kawasan masing-masing pada hari mengundi,” katanya mengulas mengenai kadar harga kapal terbang yang tinggi khususnya bagi laluan domestik ke utara Sarawak selepas perasmian ‘Forum Peluang Perniagaan di Kazakhstan’ di sini, hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRU-15 pada 19 November ini manakala tarikh penamaan calon 5 November.
Sementara itu mengulas mengenai peluang perniagaan di Kazakhstan katanya, Kerajaan Sarawak terus memperhebat dan memperkukuhkan hubungan dengan Kazakhstan terutama dalam bidang perniagaan.
“Ini akan memberi peluang dan mempermudahkan ahli perniagaan di negeri ini untuk melakukan pelaburan di negara berkenaan.
“Kazakhstan mempunyai pelbagai sumber iaitu dari segi sumber asli, dan mereka membangun dengan sangat pantas bukan sahaja aktiviti ekonomi berasaskan semula jadi malah pembangunan infrastruktur mereka serta peluang yang mereka ada untuk memudahkan ahli perniagaan kita,” katanya.