KUALA LUMPUR: Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk mengurangkan harga siling pelitup muka tiga lapisan kepada RM1 seunit daripada RM1.20 pada masa ini berikutan ia akan mengurangkan beban pematuhan yang dihadapi oleh pengeluar.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, sebagai langkah persediaan, ahli FMM yang mengeluarkan pelitup muka, telah menambah stok untuk memenuhi permintaan domestik yang meningkat dan dapat menyelaraskan harga mereka sejajar dengan keputusan kerajaan.
“Persediaan telah dilakukan sejak pengumuman kerajaan sebelum ini mengenai penggunaan pelitup muka yang wajib di tempat-tempat awam yang sesak dan dalam pengangkutan awam, berkuat kuasa 1 Ogos 2020,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata tempat kerja dalam sektor pembuatan dikawal ketat oleh prosedur operasi standard (SOP) untuk melindungi pekerja dan perniagaan secara keseluruhan.
“Oleh itu, memakai pelitup muka adalah perlu sebagai sebahagian daripada pakej pencegahan dan langkah-langkah kawalan yang menyeluruh yang turut termasuk penjarakan fizikal, kebersihan tangan, kebersihan pernafasan, pembersihan dan membasmi kuman di tempat kerja untuk mencegah penularan Covid-19 daripada manusia kepada manusia,” katanya.
Beliau berkata di bawah SOP, majikan dikehendaki menyediakan pekerja mereka dengan pelitup muka dan garis panduan minimum yang dapat diterima setiap pekerja adalah satu pelitup muka sehari.
Pada Khamis, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa harga runcit siling baharu sebanyak RM1 seunit untuk pelitup muka tiga lapisan akan dikuatkuasakan mulai 15 Ogos.
Ini untuk membantu mengurangkan beban rakyat berikutan arahan kerajaan yang mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam bermula 1 Ogos susulan kes Covid-19 positif yang meningkat dan pematuhan SOP yang rendah dalam kalangan orang ramai. – Bernama