KUCHING: Kurang upaya pendengaran sejak di bangku sekolah menengah bukan penghalang buat seorang gadis untuk menamatkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Pembangunan Sumber Manusia Dengan Kepujian.
Dikenali sebagai Nur Balqis Mohd Nasir, 23, dari Selama,Perak, berjaya memperoleh segulung ijazah pada Sidang 2 Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) kali ke-28 dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.16 di sini, pagi tadi.
Nur Balqis ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak berkata, kejayaannya hari ini merupakan sokongan penuh daripada kedua-dua ibu dan bapa, keluarga dan rakan sekeliling.
“Walaupun berjauhan dengan keluarga namun pada setiap hujung minggu, saya akan menghubungi mereka untuk mendoakan saya. Mereka merupakan pembakar semangat dalam saya menempuhi cabaran di alam pengajian.
“Setiap kali saya berasa sedih atau kurang bersemangat, keluarga tempat saya berpegang untuk lebih bersemanga,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai hala tuju selepas menerima ijazah, Nur Balqis berkata, dia bakal menceburkan diri dalam bidang pendidikan dengan mengambil diploma pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mengalami masalah pendengaran sejak di Tingkatan 2 disebabkan saraf telinganya yang kurang berfungsi, Nur Balqis berkata, tidak ada yang berkelakuan menghina atau mengejeknya sepanjang tempoh pengajiannya di UNIMAS.
“Saya bersyukur kerana sepanjang menuntut di UNIMAS, tidak pernah dihina atau direndahkan oleh warga UNIMAS.
“Malah mereka turut memberi sokongan padu untuk Balqis menyiapkan semua tugasan yang diberikan,” luahnya.
Nur Balqis memberitahu dia juga dibantu dengan adanya alat pendengaran (Hearing Aids) untuk memudahkan pendengaran ketika berkomunikasi atau berada di dalam kelas.
Justeru, Nur Balqis turut menyatakan harapannya kepada rakan-rakan yang kekurangan upaya yang masih menuntut pelajaran agar tidak berputus asa dan sentiasa bersemangat sehingga ke titik akhir pengajian.
Oleh Noor Ikmal