ROBAN: Kumpulan Tari Canda Kirana dari Saratok dinobat sebagai juara pada pertandingan Tarian Etnik RFF 2024 bersempena penganjuran Festival Makanan (RFF) 2024, di Pentas Utama RFF dekat sini hari ini.
Kumpulan Tari Canda Kirana yang telah mempersembahkan tarian etnik Bidayuh dengan tajuk Tarian Sigar Nyikoh Jojak itu telah berjaya menewaskan tiga kumpulan lain.
Dengan kejayaan itu, Kumpulan Tari Canda Kirana berjaya membawa hadiah wang tunai berjumlah RM800, piala dan sijil penyertaan.
Kumpulan Tari Seni Warisan, Kabong yang mempersembahkan Tarian Inang Selendang muncul naib johan untuk membawa hadiah wang tunai RM600, piala dan sijil penyertaan.
Kumpulan Lapan Kuntum Bunga dari Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Roban pula menambat hati juri dengan berada kedudukan ketiga.
Kumpulan ini telah mempersembahkan Gabungan Tarian Kipas dan Tarian Modern Gu Feng, sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM400, piala dan sijil penyertaan.
Kelab Kebudayaan Kampung Melayu Roban yang mempersembahkan Tarian Melanau dan Ngajat Tampi menduduki tempat keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan sijil penyertaan.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir.
Turut hadir isteri Chee Kadir, Datin Meryani Yasin; Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban, Steve Miller; Penghulu Kamaluddin Rambli; Penghulu George Maggie dan Penghulu Bundan Belatok.
Oleh ADI SAFARMAN