MIRI : Polis berjaya menumpaskan dua kumpulan penjenayah dipercayai terlibat dalam kes pecah rumah, pecah kedai dan curi motosikal dikenali sebagai ‘Group Pee’ dan ‘ Group Rufos’ dengan penahanan enam ahlinya menerusi Ops Pintu, kelmarin.
Semua suspek berumur antara 20 hingga 32 tahun itu ditahan di lima lokasi berasingan di kawasan perumahan Tudan di sini, sekitar 6.00 pagi hingga 8.30 pagi.
Tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri yang diketuai Inspektor Fredly Juing.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah berkata, dengan tertangkapnya dua ahli kumpulan ini, polis berjaya menyelesaikan 15 kes pecah rumah dan kedai dan satu kes curi motosikal yang dilaporkan di daerah ini.
“Antara barang yang dirampas susulan tangkapan itu adalah sebuah motosikal, seunit mesin potong rumput, 29 anak kunci rumah dan beberapa peralatan pecah rumah,” katanya.
Lim berkata, hasil siasatan awal mendapati dua daripada suspek tersebut mempunyai rekod kesalahan jenayah berkaitan dadah dan curi motosikal manakala empat lagi tidak memiliki rekod jenayah lampau.
“Hasil soal siasat, semua suspek mengaku terlibat dalam penyalahgunaan dadah,”katanya.
Katanya, semua mereka kini masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal.
Oleh Liong Chai Ling