KUCHING: Jambatan Sungai Bintangor di Jalan Datuk AJibah Abol akan menjadi sebuah lagi jambatan ikonik di Kuching yang bakal menarik pelancong untuk melihat kehidupan tradisi masyarakat setempat.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jambatan baharu yang agak ikonik dari sudut reka bentuk itu menelan kos RM50 juta dan dijangka siap Disember 2022.
“Apabila siap kelak, jambatan ini akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan di sini selain ia boleh dilalui perahu dan dapat digunakan sebagai acara sukan air.
“Kawasan ini juga akan kita bangunkan sebagai kawasan aktiviti selain ia berhampiran Tebingan Sungai Kuching dan limbungan Brooke dengan orang ramai boleh berjalan kaki dari sini hingga ke pusat bandar.
“Selain itu, Limbungan Brooke juga akan dibangunkan sebagai ‘market place’ untuk tempat makan-makan,” katanya sambil menambah jambatan tersebut dibina baharu kerana jambatan yang asal mempunyai laluan yang agak sempit.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan Jambatan Sungai Bintangor, Jalan Datuk Ajibah Abol di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok itu menambah, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pelaksanaan projek, satu lencongan dengan jambatan sementara dibina untuk dilalui oleh penduduk dan pengguna di sepanjang laluan.
Ujarnya, pembangunan tersebut adalah selari dengan pembangunan yang diumumkan beliau pada Hari Bandaraya Kuching pada 1 Ogos lalu bahawa sebahagian kawasan dalam bandar Kuching akan dibangunkan semula dan diberikan nafas baharu.
“Seperti yang saya katakan, bagi kawasan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kawasan yang terlibat di Jalan Haji Taha dan di sini, manakala di kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) adalah di kawasan Padungan.
“Pelan induk bagi membangunkan semula keseluruhan Kuching ini sudah ada dan ia mengambil masa untuk dibangunkan sehingga tahun 2030 atau lebih, namun kita tidak akan menjejaskan rumah dan tanah masyarakat setempat.
“Jadi bandar kita ada Kuching Lama dan juga kawasan baharu iaitu Jalan Song sehingga Kota Sentosa, Samarahan, Bau dari Batu Kawa dan Petra Jaya yang juga akan kita bangunkan.
“Keseluruhannya pembangunan Kuching dirancang dengan baik dan konsep kita adalah ke arah Bandar Organik,” jelasnya.
Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi.
Oleh Zarina Abdullah