KUCHING: Dalam video yang menjadi viral di Facebook baru-baru ini berkenaan haiwan dikenali sebagai Colugo atau dikenali sebagai Kubung.
Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya mencari sumber video tersebut setelah mengumpul maklumat intensif dan penyiasatan dilakukan dengan bantuan agensi penguatkuasaan yang lain.
Video yang disiarkan di Facebook diambil di sebuah rumah di Sg. Moyan, Batu Kawa.
Menurut kenyataan yang diambil daripada ahli keluarga tersebut, Kubung dijumpai berhampiran rumahnya. Mereka kemudian melepaskannya ke hutan berhampiran.
Pegawai penguatkuasa SFC memberi amaran lisan dan menjelaskan kepada mereka pentingnya memelihara dan melindungi hidupan liar di Sarawak.
Kubung adalah spesies yang dilindungi berdasarkan Ordinan Perlindungan Kehidupan Liar, 1998.
Berdasarkan ketetapan tersebut, mana-mana orang yang memburu, membunuh, menangkap, menjual atau memiliki sebarang haiwan yang dilindungi akan melakukan kesalahan dan akan menghadapi satu tahun penjara dan denda RM10,000.
Mengenai masalah lain yang berkaitan dengan penyiaran video, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi atau menyebarkan video yang tidak disahkan kerana akan menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang juga Pengawal Kehidupan Liar, Zolkipli Mohamad Aton berkata, SFC juga mengesahkan bahawa video yang menunjukkan beberapa ekor haiwan yang ditemui berenang bukan daripada spesies Kubung.
“Video yang pernah disiarkan di Facebook pada tahun 2019 nampaknya tidak mempunyai kaitan dengan pengeposan video Kubung baru-baru ini,” katanya.
Beliau sekali lagi menekankan bahawa haiwan liar sebaiknya dibiarkan tidak terganggu di hutan liar sebagai sebahagian daripada komuniti hutan.
“Hidupan liar kita yang berharga adalah anugerah alam yang kebanyakkannya tidak dihargai. Banyak yang berpendapat bahawa masih ada banyak spesies hidupan liar di dunia, tetapi sebenarnya, jumlahnya berkurang, dan jika tidak apa-apa langkah diambil, spesies ini mungkin terancam.
“Oleh itu, kita semua mesti memainkan peranan kita dalam memelihara hidupan liar kita,” tambahnya.