PETRA JAYA, 4 Oktober: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Pontianak, Indonesia disasar mula beroperasi pada pertengahan tahun depan selepas kerajaan Sarawak mengenal pasti bangunan untuk menempatkan pejabat berkenaan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bangunan berkenaan kini perlu melalui kerja pengubahsuaian sebelum boleh digunakan bagi operasi STATO.
“Sekarang ini kita telah pun mengenal pasti bangunan dan ia perlu dibuat pengubahsuaian dan sebagainya. Jadi, mudah-mudahan kita boleh mula beroperasi tahun depan, mungkin pertengahan tahun depan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, operasi pejabat berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Indonesia melalui kementerian berkaitan.
Katanya, kerajaan Sarawak juga perlu mengenal pasti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang akan mengetuai pejabat STATO di Pontianak selepas proses kelulusan berkenaan diperoleh.
“Pada masa yang sama, kita perlu mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Indonesia melalui kementerian mereka. Itu penting,” katanya.
Awang Tengah berkata, STATO Pontianak akan diletakkan di bawah syarikat berkaitan kementeriannya, dengan penubuhan syarikat itu perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Indonesia.
Sementara itu, beliau berkata, penubuhan STATO di Abu Dhabi turut dirancang bagi memperluas jaringan perdagangan dan pelancongan Sarawak ke pasaran Timur Tengah.
Katanya, operasi pejabat berkenaan dirancang untuk diselenggara oleh Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dan Sarawak Energy Berhad.
“Abu Dhabi, kita rancang pejabat yang sama, Sarawak Trade and Tourism Office. Ia akan diselenggara oleh pihak Petros dan Sarawak Energy Berhad.
“Ia sudah dalam perancangan dan mudah-mudahan mereka boleh meneruskan rundingan serta mengenal pasti bangunan yang sesuai,” katanya.
Bagaimanapun, Awang Tengah berkata, setakat ini belum ada bangunan yang dikenal pasti bagi menempatkan STATO di Abu Dhabi.



