KUCHING: Kualiti udara di Sarawak terus terjejas dengan lapan kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 11.00 pagi tadi, susulan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan media bertajuk Laporan Status Kualiti Udara dan Jerebu Dalam Negara memaklumkan keadaan kualiti udara negara didapati merosot dengan peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat.
Di Sarawak, bacaan tertinggi direkodkan di Serian dengan 182, diikuti Kuching (171), Samarahan (170), Sri Aman (162), Sarikei (158), Bintulu (151) dan Mukah (151).
Selain Sarawak, bacaan tidak sihat turut direkodkan di Cheras, Kuala Lumpur dengan 153 dan Johan Setia, Selangor dengan 151.
Menurut laporan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) hari ini, sebanyak 25 titik panas dikesan di Malaysia, termasuk 22 di Sarawak dan tiga di Sabah.
Sebanyak 150 titik panas turut dikesan di Kalimantan, manakala 11 lagi di Sumatera.
Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan ASMC menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau selatan ASEAN, dengan kepulan asap setempat sederhana diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di beberapa kawasan di Kalimantan.
Beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, bahagian tengah dan selatan Sumatera serta bahagian barat dan tengah Sarawak turut merekodkan bacaan tidak sihat.
Dalam pada itu, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka dan situasi jerebu.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta melaporkan sebarang kejadian pembakaran atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727.
Bacaan IPU terkini boleh dirujuk setiap jam melalui laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.




