KUCHING: Sebanyak 14 regu akan berentap pada Pusingan Akhir Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2022 bertempat di Dewan Serbaguna Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).
Kejohanan yang dianjurkan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS) dengan kerjasama Sarawak Sports Corporation (SC) berlangsung esok dan 26 Februari ini.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS), Datuk Ismail Abang Saufi berkata, pemain yang terlibat merupakan regu terbaik yang dipilih wakil zon masing-masing.
“Kumpulan A menyenaraikan regu Miri Sea Horse A, Sri Aman Gators A, Kuching Nights B dan Mukah Majors A.
“Manakala, tiga regu diundi berada dalam Kumpulan B iaitu Mukah Majors B, Samarahan Brilliant A dan Kuching Nights A,” katanya pada sidang media di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya, hari ini.
Katanya, Kumpulan C pula menyaksikan tiga regu iaitu Sri Aman Gators B, Bintulu Bravo A dan Sibu Titans B.
Selain itu katanya, dalam Kumpulan D pula iaitu Bintulu Bravo B, Sibu Titans A, Miri Seahorse B dan Samarahan Brilliant B.
Dalam pada itu, format kejohanan secara liga kumpulan pada peringkat awal, manakala kalah mati untuk pusingan selepas itu.
“Saingan hari pertama pada Sabtu untuk perlawanan peringkat kumpulan hingga ke suku akhir.
“Disusuli perlawanan peringkat separuh akhir dan final yang dijadual berlangsung pada Ahad,” tambah Ismail.
Regu yang dinobatkan sebagai juara nanti akan membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta piala dan pingat.
Naib juara katanya, akan menerima wang tunai RM2,000 termasuk piala dan pingat, manakala wang tunai RM1,000 beserta piala dan pingat untuk pemenang tempat ketiga bersama.
Dalam perkembangan lain, satu jawatankuasa pemilihan juga telah ditubuhkan bagi memilih pemain-pemain yang akan dipangil untuk latihan bagi persiapan ke kejohanan di peringkat kebangsaan.
Pemain berumur bawah 20 juga akan dipilih bagi persiapan Skuad SUKMA Sarawak yang akan mewakili Sarawak di SUKMA Ke-21 yang akan diadakan pada 2024.
Oleh Mohd Neenatul Aizal