
SIBU: Ahli-ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) digalakkan memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok dan Facebook bagi memperluaskan pasaran dan meningkatkan jualan produk komuniti, khususnya di kawasan luar bandar.
Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud berkata, penggunaan media sosial secara proaktif mampu membantu komuniti memasarkan produk dengan lebih meluas tanpa memerlukan kos yang tinggi.
“Saya menggalakkan semua ahli KRT agar menggunakan media sosial secara aktif dan bijak, khususnya untuk tujuan pemasaran produk tempatan di samping sebagai pendedahan kepada hasil usaha komuniti luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni MADANI dan Lawatan Kerja Rukun Tetangga (RT) Progresif di KRT Sungai Banyau, semalam.
Selain bantuan fizikal, katanya, pihaknya juga menggalakkan penduduk memanfaatkan kemudahan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang berhampiran untuk mengikuti latihan berkaitan pemasaran digital dan penggunaan teknologi media sosial.
“Penglibatan dalam KRT adalah secara sukarela, namun memerlukan komitmen tinggi demi manfaat bersama komuniti.
Beliau menyeru agar seluruh KRT di negara ini menyemarakkan sambutan Jubli Emas 50 Tahun KRT menerusi pelbagai program kemasyarakatan yang mampu memperkukuh semangat perpaduan serta kebersamaan rakyat setempat.
KRT Sungai Banyau telah menerima geran RT Progresif sebanyak RM123,000 pada tahun lalu dan kini giat melaksanakan pelbagai projek berkaitan ekonomi dan keselamatan.
Antara projek yang sedang dijalankan adalah penghasilan kraftangan manik oleh Jiran Wanita KRT berkenaan serta pembinaan sebuah kabin khas untuk Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang menjadi pusat operasi dan aktiviti meronda kawasan sekitar pada waktu malam.
Orang ramai yang berminat menempah kraftangan manik tersebut boleh menghubungi Setiausaha KRT, Patricia Rendah di talian 011-2920 5436.
Turut hadir Pengarah JPNIN Sarawak, Dirwana Azool, Pegawai Perpaduan Bahagian Kapit, Lau Siew Yen, Ketua Kampung Sungai Banyau, Jampong Meng, Pengerusi KRT Sungai Banyau, Jawi Medan serta pengerusi dan ahli-ahli KRT dari kawasan sekitar.
Oleh Akun Giman