KRISIS Asia Barat sekarang bukan sekadar isu perang serantau, sebaliknya ia sudah jadi krisis geopolitik + tenaga + ekonomi global terutama kerana gangguan di Selat Hormuz iaitu laluan sekitar 20 peratus minyak dunia.
Usaha menamatkan perang di Asia Barat dilihat menemui jalan buntu apabila Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan tawaran terbaharu Tehran bagi membuka semula Selat Hormuz.
Iran pula menegaskan Washington tidak lagi boleh menentukan syarat berkaitan pembukaan selat berkenaan.
Laluan perairan penting Selat Hormuz kekal sebahagian besarnya ditutup, menyebabkan bekalan tenaga dari rantau pengeluar utama Asia Barat sukar diperoleh pembeli global.
Hatta harga minyak pula melonjak melebihi AS$110 (RM405.70) setong, paras tertinggi sejak gencatan senjata AS-Iran, susulan kebimbangan konflik baharu mungkin tercetus semula.

Keadaan ini menyebabkan konflik yang telah berlarutan selama dua bulan itu terus menemui jalan buntu, dengan bekalan tenaga dan barangan lain melalui laluan penting Selat Hormuz masih sebahagian besarnya terhenti.
Namun, ada laporan menyebut AS dan Iran sedang berbincang mengenai kemungkinan perjanjian gencatan senjata sebagai pertukaran untuk Iran membuka semula Selat Hormuz.
Bagaimanapun gambaran keseluruhan mengenai perkara itu tidak dinyatakan lebih lanjut sama ada perbincangan itu berlaku secara langsung atau melalui orang tengah.
Kementerian Luar Iran segera menafikan dakwaan Donald Trump, dan Tehran secara konsisten menafikan sebarang rundingan langsung dengan Washington.
Apa kesudahan krisis ini? Ada tiga senario utama:
A. Gencatan senjata (paling baik)
- Laluan minyak dibuka semula
- Harga minyak turun semula ke sekitar AS$80–AS$90
- Inflasi global reda perlahan
- Ekonomi dunia elak kemelesetan besar
B. Konflik berpanjangan (kemungkinan buat masa ini)
- Serangan berselang / sekatan maritim berterusan
- Harga minyak kekal tinggi AS$100–AS$120
- Kos makanan, logistik, penerbangan naik
- Pertumbuhan global perlahan
C. Perang serantau besar (paling buruk)
- Hormuz lumpuh lama
- Minyak boleh cecah AS$150+
- Krisis tenaga global seperti 1970-an
- Risiko kemelesetan dunia
Kesimpulannya, pasaran sekarang nampak lebih cenderung ke arah senario B – belum tamat, tetapi belum meledak sepenuhnya.
Berikutan itu, risiko harga minyak dijangka akan terus melambung. Faktor kenaikan itu kerana Selat Hormuz terganggu; premium insurans kapal meningkat; kapasiti rizab Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) terhad dan pembelian panik stok strategik.
Faktor yang boleh menurunkan harga minyak ialah gencata senjata, pelepasan rizab strategik AS/China, pengeluaran tambahan OPEC+ dan permintaan global lemah jika ekonomi perlahan.
Pengeluar minyak OPEC di rantau Teluk sebelum ini turut berdepan kesukaran mengeksport minyak melalui Selat Hormuz, laluan strategik antara Iran dan Oman yang menyalurkan kira-kira satu perlima minyak mentah dan gas asli cecair dunia, susulan ancaman serta serangan ke atas kapal dagang.
Kesan kepada Malaysia
Malaysia ada kelebihan sebagai pengeluar minyak/gas, tetapi rakyat tetap terkesan.
Positif: Petronas/hasil kerajaan berpotensi meningkat disebabkan royalti dan dividen boleh naik, manakala ringgit mungkin dapat sedikit sokongan jika eksport tenaga kukuh.

Negatif: Kos sara hidup boleh naik.
- Petrol/diesel bersubsidi tekan fiskal kerajaan
- Harga makanan import naik (pengangkutan mahal)
- Tambang penerbangan naik
- Elektrik & industri mungkin tertekan jika LNG global mahal
Risiko utama:
- Subsidi kerajaan membengkak
- Defisit fiskal boleh tertekan
- Inflasi makanan/logistik
Untuk rakyat: Walaupun Malaysia pengeluar tenaga, harga barang harian masih boleh naik melalui rantaian kos.
Kini, kesan krisis bekalan global mula dirasai secara ketara di peringkat industri, khususnya sektor yang bergantung tinggi kepada diesel seperti pembuatan elektronik dan besi.
Namun bagi rakyat kebanyakan terutama golongan rentan, kesan serta-merta kenaikan harga minyak dunia masih dilindungi oleh pelaksanaan subsidi bersasar di bawah BUDI95 dan bantuan tunai bagi pengguna diesel yang terjejas.
Orang ramai dijangka merasai kesan secara lebih ketara bermula Jun ini apabila impak krisis yang dicetuskan konflik geopolitik di Asia Barat itu semakin jelas berpindah menerusi peningkatan kos pengangkutan, logistik dan harga barangan keperluan harian.
Dengan itu, konflik berlarutan di Asia Barat sedang menyusun semula landskap tenaga global, sekali gus membawa naratif bahawa keselamatan tenaga bagi rantau yang bergantung kepada import kini bukan lagi sekadar soal kecekapan, tetapi ketahanan terhadap gangguan berpanjangan.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak