
KUALA LUMPUR: Hampir empat dekad dalam dunia hiburan, kelunakan suara penyanyi legenda Indonesia yang terkenal dengan genre balada dan cinta, Krisdayanti, sememangnya masih terus didambai peminatnya biarpun wanita ini pernah sepi seketika dalam karier seninya.
Menggalas amanah sebagai Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR RI) Daerah Malang Raya sejak 2019 hingga 2024, sisi kehidupan pelantun yang mula menambat hati ramai peminat termasuk Malaysia menerusi lagu ‘berhantunya’, Menghitung Hari, berubah 180 darjah dalam sekelip mata.

Biarpun masih berjumpa orang ramai sepertimana tugasnya sebagai penghibur yang sering kali dikerumuni peminat, skop tugasannya sebagai wakil rakyat jauh berbeza daripada dunia seni apabila ibu kepada empat orang anak ini lebih kepada membawa suara-suara rakyat untuk didengari.
Kekangan itu menyukarkan adik kepada penyanyi terkenal Yuni Shara ini untuk bergiat aktif dalam seni suara, biarpun cinta dan semangatnya untuk kembali ke pentas seni masih kekal membara dan tidak pernah pudar walaupun sebelum ini pernah menyuarakan hasrat ingin bersara.
RINDU PERSEMBAHAN DI MALAYSIA
“Saya sangat rindu untuk membuat persembahan di Malaysia, namun sebagai wakil rakyat, saya perlu bertanggungjawab dan memberi sepenuh perhatian serta masa.
“Sebenarnya, tiada halangan untuk saya menyanyi, namun saya sedar membuat persembahan memerlukan persiapan rapi dan latihan, jadi walaupun ada tawaran, saya memilih untuk membataskan penampilan,” katanya dalam sidang media, di sini baru-baru ini.
Bagaikan tidak mahu membiarkan lama kerinduan bertapak dalam diri peminatnya, juara Asia Bagus musim pertama yang lebih mesra dikenali sebagai KD ini bakal menyulami galau jiwa penonton dan menghangatkan pentas dengan dendangan lagu baladanya pada 22 Jun depan.
Pastinya, konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil ini menjadi detik amat ditunggu peminatnya yang telah sekian lama menanti komposer serta pelakon ini untuk membuat persembahan selepas lapan tahun tidak beraksi di Malaysia.
Ini terbukti, apabila pengaruh dan aura pelantun lagu Mencintaimu ini masih lagi terus tersemai utuh dalam kalangan peminatnya, apabila kemunculannya di pentas akhir program Gegar Vaganza musim ke-11 baru-baru ini mendapat sambutan sangat istimewa.
“Saya percaya peminat mengenali saya bukan hanya melalui lagu tetapi juga cara saya berinteraksi dengan mereka. Saya bersyukur, lagu masih dimainkan di radio dan ini menunjukkannya mempunyai daya tarikan, dapat bertahan lama, menjadikannya malar hijau.
“Peminat juga dapat melihat sisi peribadi saya menerusi media sosial, perkongsian seperti bersama cucu dan beberapa momen keluarga, membuatkan mereka terasa lebih dekat dengan saya,” katanya.
SIMBOL CINTA, PENGHARGAAN
Menyentuh konsert solonya anjuran JB Production, KD menyifatkannya begitu istimewa kerana sebagai simbol cinta dan penghargaan terhadap peminat di Malaysia yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seninya meskipun ramai penyanyi baharu Indonesia ketika ini.
Bakal membuai emosi penonton dengan hampir 30 lagu yang berkisar cinta dan kehidupannya dalam industri seni, konsert itu akan diiringi dengan muzik indah di bawah arahan komposer terkenal Erwin Gutawa.
“Kali ini, saya akan membawa konsep yang dekat dengan kehidupan saya sebagai ibu, penyanyi serta kekuatan cinta yang terus memberikan inspirasi.
“Saya juga terbuka berbincang dengan promoter dan semua yang terlibat dalam industri seni untuk memastikan konsert ini benar-benar memenuhi cita rasa peminat di Malaysia,” katanya dan mereka yang ingin menyaksi-kan konsert tersebut boleh mendapatkannya melalui UberTickets mulai 23 Februari ini.
– Bernama