Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • KPWKM perluas program semai patriotisme, sokong pemakaian lencana Jalur Gemilang – Nancy
  • PENDIDIKAN

KPWKM perluas program semai patriotisme, sokong pemakaian lencana Jalur Gemilang – Nancy

Utusan Sarawak 3 weeks ago
DATO Sri Nancy Shukri memakaikan lencana Jalur Gemilang pada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abd Wahab Nurqistina Arissa Zuraimi pada majlis simbolik pemakaian lencana Jalur Gemilang peringkat negeri hari ini.
Foto BERNAMA

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang memperluas pelaksanaan program bagi menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, sebagai sokongan kepada inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang oleh pelajar yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata mesej berkaitan semangat cintakan negara dan penghormatan terhadap Jalur Gemilang itu akan turut disampaikan menerusi program keibubapaan anjuran kementerian berkenaan.

PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abd Wahab pada majlis simbolik pemakaian lencana Jalur Gemilang peringkat negeri hari ini. Inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah yang bermula hari ini bermatlamat untuk menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan pelajar. Pemakaian lencana Jalur Gemilang itu, melibatkan semua sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia. Foto BERNAMA

“Masih ramai yang mengambil ringan betapa pentingnya kita menghormati Jalur Gemilang sebagai rakyat Malaysia.

Justeru, program sebegini dianjurkan supaya tidak berlaku kesilapan seperti tertinggal corak atau komponen pada bendera, mahupun kesalahan dalam cara menggantung bendera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Simbolik Pemakaian Lencana Jalur Gemilang bagi Institusi Pendidikan di bawah KPM Peringkat Negeri Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abdul Wahab, di sini hari ini.

PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abd Wahab (dari kiri) Darwish Wafiey Termidy, Mohammad Rayyan Mohamad Azman, Muhammad Farid Azmi dan Muhammad Nizar Mohammad Hardy memakai lencana Jalur Gemilang pada hari pertama pemakaian lencana itu hari ini. Foto BERNAMA

Sebelum ini, KPM memaklumkan bahawa pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar akan dilaksanakan secara berperingkat di semua institusi pendidikan bawah kelolaan kementerian itu, bermula 21 April 2025.

Langkah tersebut melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi serta Institut Pendidikan Guru Malaysia, dengan objektif menyemai semangat patriotisme dalam kalangan murid dan warga pendidik.

PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Hj Othman Abd Wahab Muqri Aniq Mohammad Yusuf dipakaikan lencana Jalur Gemilang pada hari pertama pemakaian lencana itu hari ini. Foto BERNAMA

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Omar Mahli berkata sebanyak 885,634 lencana Jalur Gemilang akan diedarkan ke sekolah-sekolah kerajaan di negeri ini.

“Setiap pelajar akan menerima dua unit lencana. Pengedaran kepada sekolah-sekolah terlibat telahpun bermula hari ini dan akan dilakukan secara berperingkat sehingga hujung April, membabitkan seramai 442,817 pelajar,” katanya. – Bernama

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Institusi pendidikan bukan kelolaan KPM digalakkan sokong pemakaian lencana Jalur Gemilang – Fadhlina
Next: KPM latih semula lebih 100,000 guru dalam pedagogi digital

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.