SHEILA ZAIDI
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak telah dan sedang melaksanakan pemeriksaan harian bagi memastikan barangan kawalan keperluan utama sentiasa berada di pasaran dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Jurucakap pejabat KPDNHEP Sarawak berkata, pemeriksaan ini dijalankan di premis-premis perniagaan utama seperti di pasaraya besar, pemborong utama, mini market, kedai-kedai runcit dan lain-lain kategori premis perniagaan.
“Antara barangan kawalan keperluan utama yang diperiksa ialah seperti gula, minyak masak dan tepung gandum.
“Pihak kami memulakan pemeriksaan sejak 2 April yang lalu ke atas premis perniagaan di sekitar jalan Kuching – Serian dan sekitar kawasan Siburan,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati satu premis peniaga borong yang menjual barangan kawalan utama tidak menyelenggara buku stok dan telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 13 (1) Perintah Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pihak KPDNHEP katanya, telah menyita lesen borong, salinan invois dan salinan rekod jualan bagi barangan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum di premis berkenaan untuk siasatan lanjut.
Jika disabitkan kesalahan, individu yang didapati bersalah akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, yang membawa kepada hukuman denda sehingga RM1,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara untuk syarikat atau Pertubuhan Perbadanan pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga tidak melebihi RM3,000,000.
“Untuk rekod statistik, bagi tempoh bermula 1 Januari sehingga 4 April 2020, KPDNHEP Sarawak telah melaksanakan pemeriksaan di 12,754 buah premis perniagaan meliputi bandar dan luar bandar.
“Hasil pemeriksaan ini juga telah menghasilkan keseluruhan kes sebanyak 387 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM2,409,179.71 dan jumlah kompaun sebanyak RM71,150 ,” katanya.
Sementara itu, bagi kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 sahaja telah menghasilkan sebanyak 43 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM2,335,097.34 dan jumlah kompuan sebanyak RM16,000 , ujarnya.
Sehubungan dengan itu, pihak kementerian menyeru dan menasihatkan peniaga tidak mengambil kesempatan dalam tempoh pelaksanaan PKP ini dan sentiasa menyelenggara buku stok bagi membolehkan pihak kementerian memantau penjualan barangan kawalan kepada pengguna.
Peniaga juga dinasihatkan untuk tidak menaikkan harga barang kawalan sesuka hati dan tidak menyorok atau enggan menjual barang kawalan kepada pengguna.
Jika didapati ada peniaga yang ingkar, tindakan tegas akan diambil, kata beliau.
KPDNHEP Sarawak juga akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan masyarakat dapat menikmati barangan kawalan pada harga yang berpatutan.