KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terus komited dalam memastikan Keluarga Malaysia tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup kini.
Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberitahu kementeriannya melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sejak 7 Disember lalu sehingga 31 Disember ini bagi 12 jenis barangan sebagai langkah menstabilkan harga barangan seperti ayam, telur ayam dan sayuran di samping memastikan keberadaan bekalan di pasaran.
“Sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan keperluan asas tertentu sepanjang musim perayaan Krismas akan datang di samping harga maksimum yang sedang berkuatkuasa melalui SHMKM, kementerian meneruskan kesinambungan kawalan harga dengan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2021 yang akan berkuatkuasa pada 23 Disember sehingga 31 Disember ini iaitu dua hari sebelum perayaan, semasa perayaan dan enam hari selepas perayaan.
“Jumlah barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMKM dan SHMMP Krismas 2021 melibatkan 20 jenis barangan daripada kategori ayam, telur ayam, sayur, daging kambing dan daging babi,” katanya pada sidang media Pengumuman SHMMP di pasar raya Everrise di sini, semalam.
Tambahnya, antara barangan harga terkawal bagi SHMMP Krismas 2021 adalah seperti ayam belanda import, ayam tua hidup (harga maksimum di Sarawak sahaja), kepak ayam (harga maksimum di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja) serta daging kambing biri-biri import bertulang.
“Selain itu, barangan lain yang turut disenaraikan dalam SHMMP Krismas 2021 ialah lada benggala hijau, khinzir hidup (kawalan di peringkat ladang sahaja), daging khinzir (perut) (harga maksimum di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja) dan daging khinzir (daging dan lemak) (harga maksimum di Sabah, Sarawak dan Labuan sahaja.)
“Di samping itu, terdapat 12 barangan harga terkawal bagi SHMKM iaitu ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal), telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram (g) hingga 69.9 g sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 g hingga 64.9 g sebiji) dan telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 g sebiji).
“Bagi kategori sayuran, barangan harga terkawal adalah seperti kacang panjang, cili merah, tomato, sawi, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing) dan juga timun,” ujarnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA