KANGAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Op Harum 1.0 untuk mengekang penyalahgunaan perihal ‘harumanis’ bagi mangga yang bukan berasal dari Perlis.
Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif dengan kerjasama strategik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu juga, bertujuan memantau pematuhan peniaga dalam urusan jualan mangga eksklusif itu agar tidak timbul sebarang kekeliruan pada pihak pengguna.
“Penyalahgunaan perihal harumanis bagi mangga yang bukan daripada varieti harumanis Perlis boleh menjejaskan pendapatan serta hasil pengusaha tempatan sebab ada yang guna nama harumanis tapi bukan dari Perlis.
“Harumanis ini identitinya memang (dari) Perlis, tapi ada yang import, kata harumanis juga… Kalau kata harumanis Kemboja, itu bukan harumanis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Sijil Logo Buatan Malaysia kepada Syarikat HPA Industries Sdn Bhd di Jejawi dekat sini, semalam.
Nanta berkata, menerusi Op Harum 1.0, pemantauan yang dikuatkuasakan termasuklah memastikan peniaga meletakkan tanda harga serta mempamerkan jenis buah dengan jelas, selain menggunakan alat timbang yang sah.
Beliau berkata, setiap penjual juga perlu menggunakan cap dagangan harumanis yang sah dan jika pengguna mendapati ada mana-mana peniaga gagal berbuat demikian, mereka boleh melaporkan perkara itu kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut.
“Harapan kementerian adalah dengan pelaksanaan penguatkuasaan ini, peniaga akan lebih beretika dan pengguna dapat menjalankan urus niaga belian dengan lebih bijak,” katanya.
Sementara itu, Nanta juga mengingatkan semua pihak yang terlibat dalam sektor peruncitan khususnya, agar terus meningkatkan tahap kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kementerian bagi memastikan sektor perniagaan dapat terus berjalan dengan lancar.
“Setakat ini, untuk sektor peruncitan di bawah kawal selia KPDNHEP, tahap kepatuhan (SOP) sangat tinggi, kita ambil berat perkara ini bagi menjamin agar perniagaan boleh diteruskan dan ekonomi dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya.- Bernama