SIMANGGANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sri Aman telah merampas gula bernilai RM71,530 dalam operasi membanteras penyelewengan barang kawalan di Lubok Antu, semalam.
Menurut Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin, antara barangan yang dirampas adalah 360 kilogram gula pasir kasar 1kg dan 96 kilogram gula putih jernih 800g yang dibawa menggunakan sebuah kenderaan Toyota Avanza.
Katanya, dua wanita warga asing turut ditahan dan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan secara mencurigakan.
“Operasi tersebut dijalankan selepas kes diserahkan oleh Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawa.
“Jika sabit kesalahan, individu bukan perbadanan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda hingga RM3 juta atau penjara lima tahun bagi kesalahan kedua.
“Bagi pertubuhan perbadanan, denda maksimum adalah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua.
“KPDN akan menyiasat lebih lanjut bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam pengedaran gula ini, termasuk sumber dan rantaian edaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, KPDN turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang kawalan untuk menghubungi KPDN melalui WhatsApp di 019-848 8000, portal aduan di e-aduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800, atau aplikasi Ez ADU KPDN.