
LAWAS: Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari berjalan lancar, dan sebanyak 618 rumah miskin berjaya disiapkan.
Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Sari Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa memberitahu semua projek ini melibatkan bilangan Fasa 12 untuk 2024 melibatkan perbelanjaan RM7 juta.
“Pelaksanaan dilakukan mengikut zon iaitu Zon Trusan, Zon Bandar Lawas, Zon Punang, Zon Merapok dan Zon Kuala Lawas.
“Kita menggunakan tenaga kerja tempatan iaitu pelaksanaan oleh zon masing-masing dan proses ini juga melalui pemantauan ahli jawatankuasa induk PBB Cawangan Bukit Sari, ” katanya selepas mempengerusikan taklimat pelaksanaan PPRMS di Pejabat Lembaga Amanah Khairat Islam Lawas (LAKHIL) Lawas, hari ini.
Terdahulu, Awangku Jinal yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, memberitahu bahawa semua projek ini turut diaudit oleh juru audit kementerian kewangan di Kuching.
Awangku Jinal, justeru, berharap agar semangat kerjasama berpasukan semua pihak terlibat berterusan bagi membolehkan pelaksanaan PPRMS tahun inj dapat menepati sasaran yang telah ditetapkan.
“Inilah hasrat kepimpinan kita di Sarawak yang diketuai Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan ADUN Bukit Sari yang juga Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam memastikan kehidupan rakyat terus dibela.
Kerajaan GPS bukan sahaja memberi fokus kepada pembangunan negeri tetapi turut memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat khususnya mereka yang kurang berkemampuan, ” tambahnya.
Hadir sama ialah Pegawai Pembangunan Pejabat Timbalan Premier Ahmad Materal, Setiausaha PBB Bukit Sari Awang@Ibrahim Ahmad, dan semua ahli jawatankuasa PPRMS Bukit Sari Lawas.
Oleh Adeng Edrus