DEBAK: Projek pembinaan Kompleks Sukan Daerah Debak Fasa 2 kini memasuki fasa pelaksanaan dengan kos peruntukan sebanyak RM14 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata kompleks sukan tersebut bakal menyediakan kemudahan sukan terbaik dan serba lengkap kepada penduduk yang terletak tidak jauh dari Pekan Debak.
“Skop projek ini merangkumi pembinaan astaka (grandstand), pembesaran tapak kompleks sukan serta ubah suai struktur jalan yang bertujuan menyediakan kemudahan sukan bertaraf tinggi bagi penduduk Daerah Debak dan sekitarnya.
“Projek ini merupakan satu langkah besar dalam menyediakan infrastruktur sukan yang lebih lengkap untuk pembangunan belia dan aktiviti sukan di kawasan tersebut,” katanya.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata demikian semasa mengadakan tinjauan bagi pemutihan skop projek pembinaan Kompleks Sukan Daerah Debak di sini, kelmarin.
Beliau berkata projek ini adalah merupakan bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan sukan yang berkualiti kepada masyarakat di Daerah Debak dan juga bagi keseluruhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas.
“Dengan wujudnya infrastruktur sukan yang lebih baik, kita berharap dapat memberi lebih banyak peluang kepada belia di Saribas untuk mengasah bakat dan mempromosikan gaya hidup sihat.
“Ini juga merupakan satu langkah penting dalam menggalakkan lebih banyak pertandingan dan program pembangunan sukan di kawasan ini,” katanya.
Razi menambah, projek pembinaan Kompleks Sukan Daerah Debak ini diharapkan dapat menjadi pusat sukan yang dinamik serta memberi manfaat kepada generasi muda di kawasan luar bandar.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Fredrick dan Ketua Penolong Setiausaha Tetap, Seruji Ludin.
Oleh Adi Safarman