Korea Selatan perketat hukuman terhadap caj berlebihan dalam sektor pelancongan

Facebook
WhatsApp
KOREA Selatan perketat hukuman terhadap caj berlebihan dalam sektor pelancongan

SEOUL: Korea Selatan akan mengenakan hukuman lebih tegas terhadap amalan mengenakan caj berlebihan dalam sektor penginapan dan restoran mulai bulan depan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan mempromosikan pelancongan, menurut Kementerian Ekonomi dan Kewangan pada Selasa, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kabinet meluluskan pindaan kepada Peraturan Pelaksanaan Akta Penggalakan Pelancongan yang bertujuan mengenakan hukuman lebih berat terhadap pengusaha yang mengenakan caj berlebihan kepada pelancong. Pindaan itu akan berkuat kuasa pada 4 Ogos.

Di bawah pindaan itu, pengusaha perniagaan penginapan di ‘hanok’, iaitu rumah tradisional Korea, yang gagal memaparkan senarai harga atau tidak mematuhi harga yang dipaparkan akan digantung operasi selama lima hari bagi kesalahan pertama, berbanding hanya menerima amaran sebelum ini.

Perniagaan inap desa untuk pelancong asing di kawasan bandar yang sebelum ini tidak diwajibkan memaparkan atau mematuhi senarai harga turut tertakluk kepada peraturan baharu itu.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan pindaan yang sama terhadap perniagaan penginapan am pada pertengahan Julai.

Selain penggantungan operasi selama lima hari bagi kesalahan pertama melibatkan caj berlebihan, kesalahan kedua dan ketiga masing-masing akan dikenakan penggantungan operasi selama 10 hari dan 20 hari, meningkat daripada tujuh hari dan 15 hari sebelum ini.

Pemandu teksi yang mengenakan caj berlebihan kepada penumpang pula akan digantung lesen selama 30 hari serta-merta, berbanding hanya menerima amaran bagi kesalahan pertama mengikut peraturan sedia ada.

Pemandu yang melakukan kesalahan kali kedua akan digantung lesen selama 60 hari, manakala kesalahan kali ketiga akan menyebabkan lesen mereka dibatalkan.

Kementerian itu berkata kerajaan akan terus berusaha membanteras amalan tidak adil dalam industri pelancongan, termasuk memperkenalkan hukuman terhadap pengusaha yang membatalkan tempahan secara unilateral tanpa alasan yang munasabah. – Bernama