SEOUL, Korea Selatan: Persatuan Bola Sepak Korea Selatan yang berdepan tekanan melantik bekas jurulatih Sepanyol, Robert Moreno, sebagai pengendali sementara susulan prestasi buruk pada Piala Dunia serta beberapa kontroversi yang menjejaskan reputasi persatuan berkenaan.
Moreno, yang terpaksa menafikan dakwaan pada awal tahun ini bahawa beliau menggunakan ChatGPT untuk membuat persiapan perlawanan ketika mengendalikan sebuah kelab di Rusia, akan membimbing pasukan itu dalam perlawanan persahabatan pada September dan Oktober.
Korea Selatan akan beraksi dalam Piala Asia di Arab Saudi dari 7 Januari hingga 5 Februari.
Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) berkata Moreno boleh mengetuai pasukan pada Piala Asia, “tertakluk kepada penilaian” terhadap prestasinya.
Pasukan itu tidak mempunyai jurulatih sejak Hong Myung-bo meletak jawatan susulan penyingkiran mengejut mereka pada peringkat kumpulan Piala Dunia di Amerika Utara pada Jun.
Peletakan jawatan Hong tidak banyak meredakan kemarahan orang ramai terhadap kempen mengecewakan pasukan itu, malah menimbulkan semula persoalan mengenai proses pelantikannya.
Polis menyerbu ibu pejabat KFA bulan lalu sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap pelantikan Hong pada 2024.
KFA turut memohon maaf berhubung dakwaan bahawa pihaknya menyediakan hiburan seksual kepada pengadil asing.
Moreno akan membimbing Korea Selatan dalam perlawanan persahabatan di tempat sendiri menentang Ecuador dan Uruguay pada September, serta Venezuela dan Uzbekistan pada Oktober.
Beliau juga akan bertanggungjawab sekiranya Korea Selatan mengadakan perlawanan persahabatan tambahan dalam jendela antarabangsa pada November.
KFA berkata lelaki berusia 48 tahun itu dilantik selepas melalui “proses pengambilan terbuka”.
Beliau akan menjadi warga Sepanyol pertama yang melatih pasukan kebangsaan Korea Selatan.
Moreno mengambil alih tugas mengendalikan pasukan kebangsaan Sepanyol secara sementara daripada Luis Enrique pada 2019.
Beliau dilantik sebagai jurulatih tetap pada Jun tahun itu selepas Luis Enrique meletak jawatan berikutan anak perempuannya, Xana, didiagnosis menghidap kanser tulang yang jarang berlaku.
Sepanyol melantik semula Luis Enrique untuk menggantikan Moreno pada November 2019 selepas anak perempuan jurulatih itu meninggal dunia. Luis Enrique kemudian menuduh Moreno bersikap “tidak setia” kerana cuba terus memegang jawatan tersebut bagi menghadapi Euro 2020.
Moreno, yang pernah mengendalikan Monaco dan Granada, dituduh oleh media Rusia pada Januari menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk membuat persiapan perlawanan ketika mengendalikan Sochi.
Moreno, yang meninggalkan kelab divisyen utama itu pada September 2025 selepas mencatat prestasi buruk, menafikan dakwaan tersebut.
“Saya tidak pernah menggunakan ChatGPT atau mana-mana AI untuk membuat persiapan perlawanan, menentukan kesebelasan utama atau memilih pemain. Itu sama sekali tidak benar,” tulisnya dalam surat terbuka yang dihantar kepada akhbar Sepanyol, Marca.
Moreno berkata beliau menggunakan teknologi dalam tugasnya, tetapi membuat keputusan sendiri bersama-sama kakitangannya.
“Karier saya dalam bola sepak bermula melalui analisis data dan video. Itulah kepakaran saya dan perkara yang membezakan saya pada peringkat awal,” katanya. – AFP





