NOVELETA: Kematian akibat ribut tropika yang melanda Filipina melonjak kepada 98 mangsa, kata agensi bencana negara hari ini.
Mereka turut memaklumkan, harapan semakin tipis untuk mencari mangsa terselamat di kawasan paling teruk dilanda bencana.
Lebih separuh kematian adalah akibat banjir kilat dan tanah runtuh menyusuli ribut tropika Nalgae, yang memusnahkan perkampungan di pulau selatan Mindanao, Jumaat lalu.
Mindanao adalah bandar yang jarang menjadi sasaran lebih daripada 20 taufan yang melanda Filipina setiap tahun, tetapi ribut tropika yang melanda rantau itu cenderung meragut lebih banyak nyawa berbanding di Luzon serta bahagian tengah negara.
“Kami mengalihkan operasi kami daripada mencari dan menyelamat (SAR) kepada operasi carian kerana peluang untuk hidup selepas dua hari hampir tiada,” kata Ketua Pertahanan Awam wilayah Bangsamoro di Mindanao, Naguib Sinarimbo.
Jumlah kematian mungkin meningkat dengan agensi bencana negara merekodkan 63 orang masih hilang dalam laporan terbarunya manakala bilangan yang cedera turut bertambah.
Pasukan penyelamat memasuki lumpur dan timbunan sampah sarap untuk menjejaki lebih ramai mangsa yang terkorban.
Pada masa sama, penduduk yang terselamat meneruskan tugas menyayat hati untuk membersihkan kediaman yang diselaputi lumpur di bandar Noveleta, di selatan ibu negara, Manila.
“Sepanjang saya tinggal di sini, ini kali pertama kami mengalami banjir seperti ini,
“Saya sudah biasa banjir di sini tetapi ini paling teruk, saya amat terkejut,” kata Joselito Ilano, 55 yang rumahnya dinaiki air setinggi paras pinggang.
Taufan Nalgae mengakibatkan kampung banjir, memusnahkan tanaman dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di banyak wilayah ketika ia melanda seluruh Filipina.
Ia berlaku pada hujung minggu yang panjang sempena Hari ‘All Saints’ iaitu pada Selasa lalu, dengan jutaan rakyat Filipina mengembara untuk menziarah kubur orang tersayang.
Sebelum ini, saintis sudah mengeluarkan amaran mengenai taufan yang membawa maut dan mengakibatkan kemusnahan lebih ketara susulan dunia menjadi lebih panas disebabkan perubahan iklim.
Agensi ramalan cuaca negeri memberi amaran bahawa satu lagi ribut tropika sedang menuju ke arah Filipina walaupun Nalgae bergerak merentasi Laut China Selatan.
Sistem cuaca baharu boleh membawa lebih banyak hujan lebat dan kesengsaraan ke kawasan yang terjejas teruk oleh Nalgae.
Tanah runtuh dan banjir kilat berpunca dari lereng gunung yang kebanyakan pokoknya ditebang menjadi antara bahaya terbesar akibat ribut di Filipina sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada April lalu, tanah runtuh dan banjir dicetuskan ribut tropika yang lain memusnahkan komuniti pertanian dan nelayan di wilayah tengah Leyte. – AFP