JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat menemukan dua lagi mayat di Tana Toraja, Sulawesi Selatan menjadikan jumlah keseluruhan korban tanah runtuh di wilayah itu kepada 20, menurut Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) hari ini, lapor Xinhua.
Hujan lebat mengakibatkan tanah runtuh di kawasan yang tanahnya tidak stabil di Kampung Lembang Randan Batu dan Manggau, Sabtu lalu, 10.30 malam waktu tempatan, menyebabkan beberapa orang cedera dan empat rumah tertimbus.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dalam keadaan hujan dan berkabus dengan tanah runtuh menyekat laluan.
Kesemua mangsa yang hilang telah ditemukan dengan penemuan dua mayat itu.
Operasi mencari dan menyelamat telah dihentikan tetapi pasukan itu masih berada di sana sekiranya ada lagi laporan orang hilang diterima daripada penduduk tempatan. – Bernama – Xinhua