SAO PAULO: Hujan lebat dan banjir yang melanda negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil telah meragut 169 nyawa sejak ribut melanda negeri itu pada 29 April, menurut agensi Pertahanan Awam, semalam.
Dalam tempoh 24 jam yang lepas, tiga lagi mayat telah ditemukan, sementara 56 orang masih hilang akibat bencana alam terburuk yang pernah berlaku di negeri itu, menurut laporan terkini agensi berkenaan, menurut Xinhua.
Lebih daripada 2.3 juta penduduk telah dipindahkan akibat banjir yang berterusan dan sungai yang melimpah.
Gabenor Rio Grande do Sul, Eduardo Leite menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya setahun diperlukan untuk membina semula infrastruktur yang rosak di ibu negeri, Porto Alegre dan 469 lagi majlis perbandaran.
Menurut ramalan cuaca, lebih banyak hujan dijangka turun minggu ini di Porto Alegre dan bandar-bandar utama lain di negeri itu, menyebabkan sekolah-sekolah akan ditutup selama 48 jam untuk mengurangkan risiko.
Rio Grande do Sul, yang bersempadan dengan Argentina dan Uruguay adalah hab pertanian penting di Brazil dan pengeluar utama beras di Amerika Latin. – Bernama – Xinhua