KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mahu aktiviti koperasi diperluaskan, khususnya dalam bidang pertanian moden untuk mengatasi isu jaminan makanan dalam negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, aktiviti koperasi pada masa ini lebih kepada sektor perkhidmatan (86 peratus), dan perlu mempelbagaikan kepada aktiviti dalam sektor pertanian dan penghasilan makanan.
Katanya langkah itu akan dapat menjamin keperluan bahan makanan untuk rakyat, selain mengurangkan import makanan yang bernilai kira-kira RM10 bilion setahun.
“Pendedahan perlu diberikan kepada penggunaan teknologi baharu terutamanya kepada graduan kerana isu jaminan makanan banyak mengajar kita semasa pandemik Covid-19.
“Kita telah memenuhi keperluan makanan rakyat dan pada masa sama, kita juga membantu Singapura dengan memastikan sayur-sayuran dan telur mencukupi.
“Justeru, kita perlu lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan penyakit dan situasi seperti ini (Covid-19) pada masa akan datang,” katanya kepada media pada sesi lawatan rasmi ke SKM di sini, semalam.
Beliau berkata selain bidang pertanian moden, aktiviti koperasi dalam bidang pembuatan dan perlombongan juga perlu diperluaskan.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berharap pembangunan aktiviti koperasi akan lebih pesat selepas pindaan dibuat kepada Akta Koperasi 1993 (Pindaan 2007) (Akta 502) pada tahun ini.
“Pindaan itu bukan sahaja akan melibatkan perkara semasa seperti pendigitalan, penggunaan teknologi baharu dan trend terkini termasuk mekanisasi dan automasi, tetapi juga perlu mesra alam untuk mengurangkan jejak karbon dan impak kepada alam sekitar,” katanya.
Sebagai organisasi sosial dan ekonomi terbesar di negara ini dengan keahlian kira-kira enam juta orang, katanya, koperasi bertanggungjawab untuk menggerakkan ekonomi negara dan menjadikan koperasi antara perusahaan sosial yang berjaya setanding dengan aktiviti koperasi di negara yang lebih maju.
Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata, pihaknya telah menarik balik dan membatalkan cadangan penggabungan SKM dan Institut Koperasi Malaysia yang pernah diutarakan oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini.
“Sebaliknya, kita berhasrat untuk menjadikan institut ini lebih besar, dengan menukarkannya kepada universiti kolej,” katanya.- Bernama