KUCHING: Kontraktor Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) diingatkan supaya sentiasa peka terhadap aduan awam.
Pemangku Pengarah Kerja Raya (JKR) Sarawak, Ir. Wisil Lichok berkata mereka perlu menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dengan betul dan berkualiti tinggi demi keselesaan serta keselamatan pengguna LPB.
“JKR Sarawak merupakan rakan strategik Kementerian Kerja Raya (KKR) dan bertindak bagi pihak Kerajaan Persekutuan dalam perkara-perkara berkaitan dengan operasi, penyelenggaraan dan penyeliaan.
“Ini juga termasuk pengawasan pelaksanaan kerja-kerja bagi memastikan pematuhan terma dan syarat oleh syarikat,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman FB JKR Sarawak.
Wisil menutup bengkel perancangan kerja 2025 bagi penyelenggaraan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak bersama syarikat kontraktor di sini semalam.
Bengkel itu dianjurkan bersama oleh JKR Sarawak dan syarikat Pan Borneo Highway Asset Management Sdn Bhd.
Menurut Wisil bengkel itu bagi memastikan syarikat kontraktor penyelenggaraan bagi LPB Sarawak yang telah dilantik mematuhi spefikasi dan kontrak yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Katanya, bermula September lepas sehingga hari ini JKR Sarawak telah menyerahkan tujuh seksyen kepada pihak kontraktor bagi kerja-kerja penyelenggaraan iaitu persimpangan Persimpangan Nyabau; KOP (Bintulu); Batang Rajang (Sibu); Telok Melano ke Sematan; Julau dan Serian dengan panjang keseluruhan 157 kilometer (km).
“Dengan penyerahan seksyen-seksyen tersebut, bermakna kesemua kerja-kerja penyelenggaraan yang terkandung dalam spesifikasi terdiri daripada kerja rutin (sepanjang tahun), kerja berkala turapan, kerja berkala bukan turapan dan kerja kecemasan mengikut kelulusan dari semasa ke semasa akan dilaksanakan oleh pihak kontraktor,” katanya.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan (KPPK) Lebuhraya Pan Borneo (CLPB), Indra Sakti Haron; KPPK Cawangan Perancangan Korporat, Norman Jan; Jurutera Bahagian Betong, Jason Ng; Jurutera Kanan Unit Pembinaan Digital dan Pengurusan Aset CLPB, Chang Chee Khiong; Pengarah PBH Asset Management, Zalida Ahmad dan pegawai mewakili jurutera bahagian serta kakitangan syarikat kontraktor yang terlibat.
Oleh KD