KUCHING: Kontraktor Bumiputera di Sarawak perlu merebut peluang yang tersedia susulan perkembangan pesat sektor pembangunan dan ekonomi negeri itu, kata Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.
Beliau berkata kontraktor tidak seharusnya hanya menunggu peluang, sebaliknya perlu berusaha mencarinya, meningkatkan keupayaan serta membina jaringan kerjasama bagi memastikan sektor pembinaan terus berkembang.
“Tinggal lagi, tinggal lagi kita sendiri perlu membangunkan negeri kita. Kita perlu merebut peluang, jangan menunggu peluang.
“Kita perlu mencari kejayaan, jangan menunggu kejayaan. Kita mesti mencari kawan, jangan mencari lawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Cawangan Negeri Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026, di sini, semalam.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, Naib Presiden PKMM, Dato’ Ismail Suut, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo, Dato’ Sri Abdul Karim Tun Openg, serta Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Dr. Zaiedi Suhaili.

Menurut Mohd Rosdi, Sarawak mempunyai kira-kira 11,000 kontraktor, dengan antara 70 hingga 80 peratus daripadanya terdiri daripada kontraktor kecil dan sederhana dalam gred G1 hingga G4.
Beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Kelantan berkata perkembangan pembangunan di Sarawak membuka ruang lebih luas kepada kontraktor tempatan untuk mengambil bahagian dalam projek pembangunan negeri.
“Pastikanlah kita adalah orang yang terbaik dan kita merebut peluang yang ada ini dan kita pastikan sektor pembinaan ini akan terus maju untuk masa depan.
“Yang penting, betulkan yang biasa dan biasakan yang betul supaya kita dapat merebut peluang yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rosdi berkata, PKMM menghargai perhatian kerajaan Sarawak terhadap kontraktor Bumiputera, khususnya dalam memastikan golongan berkenaan turut mendapat peluang dalam pembangunan negeri.
Beliau berkata PKMM kini mempunyai keanggotaan di 14 negeri dan 136 daerah di seluruh Malaysia, manakala PKMM Sarawak menjadi cawangan kesembilan yang mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan bagi tahun ini.
Katanya, beliau turut melihat perkembangan Sarawak dalam pelbagai sektor sebagai peluang yang perlu dimanfaatkan oleh kontraktor tempatan.
“Saya dapat merasakan semua itu dan seolah-olah cara Yang Amat Berhormat mentadbir Negeri Sarawak ini seperti mentadbir negara Malaysia kerana kesamarataan dari segi ekonomi dan kenikmatan, begitu sekali diurusnya ekonomi dan sosial di Negeri Sarawak,” katanya.
Mohd Rosdi turut menyentuh peruntukan pembangunan Sarawak yang besar, termasuk RM31.3 bilion menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 serta peruntukan RM3.865 bilion kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melalui AP 182, yang menurutnya menyediakan ruang pembangunan kepada kontraktor daripada pelbagai gred.
Beliau berkata kontraktor perlu bersedia meningkatkan keupayaan dan mengambil peluang daripada pembangunan berterusan bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi negeri dapat dinikmati secara lebih meluas.
“Kita selaku kontraktor bersyukurlah berada di bumi Sarawak dan bersyukurlah berada di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Premier Abang Johari.
“Dan pastikan sektor pembinaan ini akan terus maju untuk masa depan,” katanya.
Oleh Afiq Sallehi




