KUCHING: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) terus memperkasa kontraktor Bumiputera melalui latihan kemahiran dan pendedahan kepada teknologi pembinaan moden bagi meningkatkan keupayaan mereka dalam sektor pembinaan.
Naib Presiden PKMM Dato’ Ismail Suut berkata, kerjasama persatuan dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) turut memberi peluang kepada anak Sarawak mengikuti latihan kemahiran secara percuma.
Katanya, antara kemudahan yang disediakan ialah kren menara dan kren bergerak yang membolehkan peserta mendapat latihan dalam pengendalian jentera berteknologi tinggi.
“Alhamdulillah, Premier Sarawak telah memberi peruntukan untuk kami beli kren menara. Kren menara dengan kren bergerak. Bukan murah harganya.
“Tapi ia memberi manfaat kepada anak-anak Sarawak untuk jadi pengendali kren. Gajinya bukan kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Cawangan Negeri Sarawak Kali Ke-27 Tahun 2026, di sini, malam tadi.
Menurut Ismail, latihan kemahiran yang disediakan ABM turut membuka peluang kepada peserta untuk mendapatkan pekerjaan bukan sahaja di Sarawak, malah sehingga ke luar negara.
Katanya, perkara itu membuktikan anak Sarawak mempunyai keupayaan untuk menguasai kemahiran teknikal sekiranya diberikan peluang dan latihan yang sewajarnya.
Beliau yang juga Yang Dipertua PKMM Sarawak berkata, PKMM akan terus bekerjasama dengan CIDB dan ABM dalam memperkukuh pembangunan modal insan serta kemahiran dalam kalangan kontraktor dan tenaga kerja Bumiputera.
Dalam pada itu, Ismail berkata usaha memperkasakan usahawan Bumiputera juga perlu disertai kesungguhan daripada golongan itu sendiri untuk meningkatkan keupayaan dan merebut peluang yang tersedia.
“Kita mesti usaha. Siapa madah orang Bumiputera sik pandai? Orang yang menganggap begitu, dia yang tidak pandai.
“Ini bukan kira bangsa, ini kira perniagaan,” katanya.
Beliau turut menggesa kontraktor Bumiputera supaya tidak melihat status Bumiputera semata-mata sebagai kelebihan, sebaliknya membuktikan keupayaan melalui prestasi, kemahiran dan pengurusan perniagaan yang baik.
Katanya, pembangunan kontraktor Bumiputera perlu dilaksanakan secara inklusif bersama kontraktor bukan Bumiputera bagi memastikan hubungan antara masyarakat di Sarawak terus kukuh.
Ismail turut menggesa ahli PKMM supaya menjaga dan memanfaatkan sebaik-baiknya kemudahan serta bantuan yang diberikan kerajaan bagi memastikan manfaatnya dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden PKMM, Dato Mohd Rosdi Ab Aziz, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Aidel Lariwoo, Dato’ Sri Abdul Karim Tun Openg serta Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Dato Dr. Zaiedi Suhaili.
Oleh Afiq Sallehi




