
KUALA LUMPUR: Kumpulan rock popular tanah air, Spider, bakal mengadakan konsert istimewa berkonsepkan ‘unplugged’ buat pertama kali pada 25 Oktober ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Naga Legend Entertainment, konsert bertajuk Spider Unplugged Concert itu bakal menjadi medan meraikan perjalanan seni kumpulan yang telah mewarnai industri muzik Malaysia hampir tiga dekad sejak penubuhannya pada 1996.
Menurut wakil Naga Legend Entertainment, Fandy Alias pihaknya berbesar hati kerana lamaran untuk menganjurkan konsert tersebut disambut baik oleh Spider yang kini dianggotai oleh Tam (vokal), Aie (dram), Iss (bes) dan Pown (gitar).

“Konsep ‘unplugged’ yang dibawakan adalah kali pertama kami tampilkan bersama Spider dan pastinya akan menjadi momen terbaik buat para peminat. Kami percaya ia akan tampil dengan hasil yang eksklusif, tersendiri dan mewah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu Tam dalam kenyataan sama, berkata pihaknya selektif dalam menyertai penganjuran konsert dan menekankan aspek kualiti serta kesiapsiagaan yang tinggi sebelum bersetuju tampil membuat persembahan.
“Spider tidak mahu sekadar naik ke pentas, ‘goreng muzik’, menyanyi ala kadar dan pulang. Kami mendahulukan konsep serta kualiti termasuk sistem audio dan teknikal agar peminat benar-benar dapat merasai pengalaman persembahan yang terbaik,” katanya.
Tam turut menyifatkan Spider Unplugged Concert sebagai persembahan yang belum pernah dipertontonkan sebelum ini, sekali gus menandakan era baharu buat kumpulan tersebut dalam mendekati peminat dengan gaya muzik yang lebih intim.
Sepanjang penglibatan mereka dalam industri muzik, Spider telah menghasilkan pelbagai lagu hit seperti Nazraku, Aladdin, Relaku Pujuk, Kasih Latifah dan Cinta Dewa Dewi.
Mereka turut meraih pengiktirafan apabila Relaku Pujuk dinobatkan Juara Lagu 2004 manakala album Nazraku dipilih sebagai Album Pop Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2005.
Tiket konsert yang bermula pada harga RM198 boleh dibeli mulai 3.00 petang hari ini di www.ilassotickets.com/spiderunplugged.- Bernama