Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Konsert GenKRU ubati kerinduan peminat, buktikan mereka masih berbisa
  • HIBURAN

Konsert GenKRU ubati kerinduan peminat, buktikan mereka masih berbisa

Utusan Sarawak 3 weeks ago
KERINDUAN peminat pada kumpulan KRU akhirnya terubat apabila trio adik-beradik itu bersatu di pentas menerusi konsert pertama siri GenKRU yang turut menandakan kemunculan semula mereka selepas tujuh tahun menyepi daripada dunia hiburan. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerinduan peminat pada kumpulan KRU akhirnya terubat apabila trio adik-beradik itu bersatu di pentas menerusi konsert pertama siri GenKRU yang turut menandakan kemunculan semula mereka selepas tujuh tahun menyepi daripada dunia hiburan.

Berlangsung hampir tiga jam di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu lepas, konsert itu membawa lebih 10,000 peminat daripada pelbagai generasi mengimbau kembali era kegemilangan KRU sejak 1990-an, menerusi lebih 30 lagu hit yang dipersembahkan Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim.

KEMUNCULAN Elite dianggotai Abby Abadi, Sasha Saidin, Watie Sadali, Azzarima Zawari dan Linda Rafar turut mendapat sorakan gemuruh apabila mereka tampil berduet lagu Di Pintu Syurga bersama KRU Berlangsung hampir tiga jam di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto BERNAMA

Konsert anjuran Icon Entertainment itu turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan isterinya; Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli serta barisan artis popular tanah air antaranya Sherry Al Hadad dan Aedy Ashraf.

Tepat 9.00 malam, pentas dibuka dengan rangkaian lagu rancak seperti Fanatik, Malam Kita dan Ooh La La, membakar semangat penonton yang membanjiri arena sejak petang.

BERLANGSUNG hampir tiga jam di Axiata Arena, Bukit Jalil, konsert GenKRU membawa lebih 10,000 peminat daripada pelbagai generasi mengimbau kembali era kegemilangan KRU sejak 1990-an. Foto BERNAMA

“Siapa sini geng Norman, Yusry dan Edry? Tapi yang paling istimewa, saya nak tanya… siapa geng genKRU malam ini?” kata mereka, disambut sorakan yang bergema di seluruh dewan.

“Tak sangka, kita (KRU) dah 33 tahun dalam industri, kita masih lagi boleh buat persembahan besar macam ini. Terima kasih banyak kerana bagi sokongan padu kepada kami. Nombor 33 itu agak signifikan buat kami, usia 33 tahun KRU, tiga orang ahli, dan kita adakan konsert ini selama tiga malam di Axiata Arena. Alhamdulillah,” kata mereka.

Segmen seterusnya menyaksikan susunan lagu balada seperti 2, Babe, Untukmu (lagu asal Feminin), Janji Kita, Di dalam Dilema dan Bidadari, sekali gus mengukuhkan lagi sisi sentimental KRU menerusi kekuatan emosi dalam naratif persembahan mereka.

Namun, momen paling menyentuh hati pastinya ketika KRU menyanyikan lagu Perpisahan Terasing secara duet maya dengan Allahyarham Datuk Sudirman Hj Arshad, diiringi visual di layar gergasi sebagai penghormatan istimewa buat legenda seni tanah air itu.

Langkah KRU turun dari pentas dan mendekati peminat sambil menyanyikan lagu Dekat Padamu mencipta kenangan paling mahal buat mereka yang berpeluang berinteraksi dengan tiga beradik berkenaan secara dekat, sebelum persembahan diteruskan dengan lagu Wanita dan Apa Saja sebagai penghargaan bagi peminat wanita dan pasangan yang hadir.

Selain itu, KRU turut mengundang peminat setia yang juga artis terawal naungan mereka, Adam AF2 serta kumpulan Elite untuk menyanyi bersama, masing-masing menerusi lagu Terhangat di Pasaran dan Di Pintu Syurga.

Tidak hanya mendendangkan lagu-lagu sendiri, KRU turut mempersembahkan secara medley lagu ciptaan mereka yang dinyanyikan oleh artis lain seperti Sedetik Lebih (Anuar Zain), Separuh Masa (The Lima), Romancita (Mojo) dan Hi Hi Bye Bye (Ezlynn), yang diberi sentuhan baharu.

Malam penuh emosi itu diteruskan dengan kembali ke akar muzik hip hop dan rap melalui lagu seperti Hanya Kau, That’s The Way We Jam dan Inikah Ertinya Cinta yang menghidupkan semula identiti eksperimental KRU yang pernah mempelopori muzik urban dan elektronik di negara ini.

KRU turut menyanyikan dua single baharu Vodoo dan One More Time daripada album terbaharu mereka berjudul Kaset, yang turut dilancarkan pada malam itu.

“Kami sebenarnya dah lama rancang. Kebetulan kami bertiga semua ada, jadi timbul idea nak buat ‘reunion’. Lepas tujuh tahun, kami rindu nak ‘bergaduh-gaduh’… takkan nak buat konsert sahaja tanpa tinggal karya, maka terhasillah album ini,” kata Edry, disambut gelak tawa ahli kumpulan lain.

Konsert ditutup dengan tiga lagu ikonik paling dinanti-nantikan peminat, iaitu Mengerti, Jangan Lafazkan dan Awas, yang membakar semangat penonton sehingga mereka berdiri, menari dan menyanyi bersama dalam kemuncak penuh energi.

“Terima kasih kepada semua kerana sudi hadir malam ini. Kita jumpa lagi pada masa akan datang, take care and see you,” ucap mereka sebelum mengakhiri persembahan.

Selepas menghiburkan peminat dua malam berturut-turut pada Sabtu dan semalam, konsert GenKRU akan diteruskan 10 Mei ini sebagai persembahan ketiga dan terakhir untuk peminat tempatan, sebelum ke Singapura pada 28 Jun depan. – Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Fast Culture Music Festival 2025 gegarkan Stadium Sarawak
Next: Awie, Search KidDin bakal bergabung dalam Konsert Jelajah Rockology 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.