KUCHING: Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian menegaskan komitmennya untuk terus membantu keluarga mendiang Japin Kemin, 16, yang terkorban dalam kemalangan jalan raya tragis tahun lalu.
Kemalangan yang berlaku di Jalan Teo Kui Seng–Stutong Baru itu meragut empat nyawa dan mencederakan lima yang lain, termasuk Japin yang merupakan pelajar SMK DPHA Gapor.
Kong berkata, bantuan kewangan telah disalurkan kepada keluarga mangsa susulan tragedi berkenaan, selain komitmen jangka panjang untuk membantu abang Japin, iaitu Jain Kemin, yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang seni bina di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Saya bersyukur dapat menunaikan janji tersebut menerusi Dana Bantuan Pendidikan Tertiari DAP,” katanya.
Menurutnya, sumbangan berkenaan diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga terbabit, selain memberi dorongan kepada Jain untuk terus tekun dalam pengajian dan berusaha membina masa depan yang lebih cerah.
“Tiada bantuan yang mampu menghilangkan sepenuhnya kesedihan akibat kehilangan insan tersayang, namun kami mahu memberi jaminan kepada keluarga Japin bahawa mereka tidak bersendirian,” katanya.
Kong berkata, beliau akan terus berdiri bersama keluarga berkenaan dan menghulurkan sokongan ketika mereka meneruskan kehidupan dalam usaha mengharungi kedukaan serta membina harapan baharu.
Oleh Connie Chieng





