Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Komuniti Pugu teroka usaha lestari, 538 anak penyu dilepaskan
  • TEMPATAN

Komuniti Pugu teroka usaha lestari, 538 anak penyu dilepaskan

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATUK Len Talif Salleh ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Tapak Penetasan Telur Penyu di Pantai Pugu, hari ini.

LUNDU: Inisiatif pemuliharaan penyu yang digerakkan komuniti di Pantai Pugu, di sini, bakal diperluaskan ke kawasan lain yang berpotensi sebagai lokasi pendaratan reptilia marin itu.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kejayaan program penetasan telur penyu di kawasan tersebut membuktikan peranan penting penduduk setempat dalam usaha melindungi khazanah alam.

Menurut beliau, usaha tersebut bermula sekitar lima tahun lalu apabila berlaku pendaratan pertama penyu di kawasan berkenaan sebelum komuniti setempat mengambil inisiatif menjaga telur dan bekerjasama dengan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).

“Hari ini kita dapat lihat hasilnya apabila telur-telur ini berjaya dieram dan seterusnya anak penyu dilepaskan ke laut. Ini adalah usaha yang sangat baik selaras dengan penekanan kerajaan terhadap kelestarian alam sekitar.

“Penyu memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekosistem dan iklim, justeru ia perlu dipelihara dengan sebaiknya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Tapak Penetasan Telur Penyu di Pantai Pugu, hari ini.

DATUK Len Talif Salleh (tengah) bersama tetamu dan komuniti setempat menunjukkan anak penyu sebelum dilepaskan pada Majlis Perasmian Tapak Penetasan Telur Penyu di Pantai Pugu, Lundu, hari ini.

Beliau menambah, Kampung Pugu bertuah kerana menjadi antara lokasi pilihan penyu untuk mendarat dan bertelur, berbanding kawasan lain yang mempunyai pantai lebih panjang tetapi tidak menerima kehadiran spesies tersebut.

Dalam pada itu, Len Talif memaklumkan peluasan program akan bergantung kepada laporan dan penglibatan komuniti setempat.

“Sekiranya terdapat laporan atau penemuan pendaratan penyu di kawasan lain, kita akan ambil tindakan. Pada masa sama, kita juga bersikap proaktif mengenal pasti lokasi berpotensi,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan pengawalan pelancongan bagi mengelakkan gangguan terhadap proses penyu bertelur.

Katanya, kehadiran terlalu ramai pengunjung boleh memberi tekanan kepada penyu dan menjejaskan kadar pendaratan di sesuatu kawasan.

Selain itu, beliau mendedahkan kadar kelangsungan hidup penyu adalah sangat rendah, iaitu sekitar 0.1 peratus sahaja daripada jumlah telur yang menetas mampu hidup hingga dewasa.

“Daripada ratusan atau ribuan telur, belum tentu seekor akan hidup. Sebab itu usaha pemuliharaan seperti ini amat penting,” jelasnya.

Len Talif turut menegaskan keperluan penyelidikan lebih mendalam termasuk aspek persekitaran seperti suhu, kelembapan dan struktur pasir yang mempengaruhi pendaratan penyu.

Beliau berkata, kerjasama dengan institusi pengajian tinggi juga perlu diperkukuh bagi memahami habitat dan corak migrasi spesies tersebut.

Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang serta penglibatan komuniti melalui program seperti renjer hidupan liar turut memainkan peranan penting dalam memastikan perlindungan penyu dapat dilaksanakan secara berkesan.

Oleh Shahrul Qaizat

Continue Reading

Previous: SMK Baru Miri lahir generasi seimbang menerusi sukan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.