
KUCHING: Komuniti Orang Ulu diberi penghormatan untuk menganjurkan sambutan Gawai Dayak peringkat negeri tahun ini.
Pelantikan komuniti tersebut dibuat secara giliran dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak 2025 berkata jawatankuasa kerja akan dibentuk oleh Datuk Gerawat Gala sekali gus mencadangkan tarikh bagi pelbagai program yang dirancang.
Beliau menyifatkan perkara tersebut sebagai peluang keemasan untuk komuniti Orang Ulu mempamerkan budaya serta tradisi mereka.
“Sambutan tahun lalu yang dianjurkan oleh komuniti Bidayuh, merupakan satu kejayaan besar yang mana kita menyaksikan banyak penambahbaikan berbanding sambutan sebelum ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat, termasuk sektor awam dan swasta, atas kerja keras serta sumbangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambahnya, semangat kerjasama antara komuniti Bidayuh, Iban dan Orang Ulu amat mengagumkan dan ia membuktikan kejayaan besar mampu dicapai dengan perpaduan dan kerjasama.
“Diharapkan semangat itu terus kekal dalam semua usaha, bukan hanya dalam sambutan Gawai Dayak.
“Kita perlu duduk berbincang, berunding dan menyumbang sebaik mungkin supaya kita dapat bergerak ke hadapan untuk mencapai lebih banyak kemajuan,” tambahnya.
Menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee yang juga merupakan pengerusi jawatankuasa kerja sambutan tahun lalu, sebanyak lima program utama telah berjaya dilaksanakan.
“Program tersebut termasuk Bazar Gawai Dayak, karnival, perarakan kebudayaan, makan malam Gawai peringkat negeri serta penerbitan risalah pelancongan Gawai dan buku Coffee Table.
“Penerbitan buku Coffee Table ini adalah yang pertama kali dilakukan.
“Kami berharap ia dapat dilancarkan sebelum sambutan Gawai tahun ini yang hanya tinggal kira-kira dua bulan lagi,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato Henry Harry Jinep berkata jumlah jualan sebanyak RM2.4 juta telah direkodkan sepanjang 11 hari ia diadakan.
“Bazar tersebut melibatkan penyertaan 174 gerai yang menjual makanan halal dan makanan tradisional Dayak, kraf tangan dan pelbagai barangan lain,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar yang juga Pengerusi Perarakan Kebudayaan, Billy Sujang berkata sebanyak 111 kontinjen telah mengambil bahagian dalam acara penuh warna-warni itu, walaupun hujan lebat turun pada penghujung program.
“Turut terlibat komuniti Kadazan Dusun yang telah menghantar kontinjen mereka untuk turut serta dalam perarakan tersebut,” katanya.
Timbalan Menteri di Pejabat Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala turut dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa penganjur.
Oleh Masrin Affirah