ADI SAFARMAN
SIMANGGANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sri Aman mengenakan kompaun sebuah premis perniagaan sebanyak RM1,000 di atas kesalahan gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Sri Aman, Pelani Kemiti memberitahu, tindakan ini diambil hasil aduan awam melalui sistem aduan KPDNHEP iaitu di aplikasi Ez ADU KPDNHEP yang dibangunkan untuk orang ramai membuat aduan kepada KPDNHEP melalui telefon pintar.
“Sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP diarahkan untuk menyiasat aduan tersebut.
“Hasil pemantauan di premis berkenaan didapati telah melakukan kesalahan dibawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 iaitu Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993 kerana gagal meletakkan/mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Pelani berkata, nilai kompaun yang tinggi ini adalah bertujuan untuk memberi pengajaran kepada peruncit supaya mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.
Jelas Pelani, ia juga menunjukkan betapa komitednya Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP dalam menyiasat segala aduan dan juga menjalankan tugasan yang diamanahkan oleh kerajaan.
Pelani berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua peniaga agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan kerajaan selain tidak menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang cuba mengambil kesempatan lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,” tegas beliau.
Orang ramai katanya lagi, boleh menyalurkan aduan ke laman web EZ ADU KPDNHEP, laman facebook rasmi KPDNHEP Sri Aman dan juga membuat pangilan terus ke nombor bilik gerakkan di nombor 083- 323836 jika hendak membuat aduan mengenai salah laku peniaga.
Sementara itu, Pelani berkata, penduduk di daerah itu tidak perlu bimbang mengenai bekalan barangan menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak.
Menurutnya, sehingga kini semua bekalan keperluan mencukupi termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, telur dan lain-lain.