KUCHING: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatatkan 22 kejayaan menerusi beberapa operasi penguatkuasaan dari 1 September hingga semalam, membabitkan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM163.83 juta.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, kejayaan itu dicapai menerusi Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Delta, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Chiller, Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah.
Menurutnya, operasi berkenaan turut membawa kepada penahanan 35 warga tempatan dan asing atas pelbagai kesalahan.
Antara kesalahan dikesan ialah penyimpanan dan penjualan rokok serta minuman keras yang belum diluluskan cukai Kastam, penyimpanan dan pengedaran produk sejuk beku tanpa permit, penyelewengan minyak diesel, perlombongan tanpa lesen, pemprosesan kayu tanpa permit serta kesalahan imigresen.
“Operasi ini mencerminkan komitmen berterusan Briged Sarawak PGA dalam membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang serta melindungi keselamatan, ketenteraman awam dan kepentingan negeri,” katanya hari ini.
Lim berkata, menerusi Op Bersepadu Khazanah, satu kejayaan direkodkan di Bau membabitkan aktiviti perlombongan bahan galian mineral tanpa lesen sah.
Dua lelaki warga tempatan ditahan, manakala pelbagai jenis batu, minyak diesel, tangki IBC, jentera berat serta peralatan lain dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM120.84 juta.
Op Taring Chiller pula mencatatkan empat kejayaan di Bintulu, Kuching dan Lawas membabitkan aktiviti penyimpanan serta pengedaran produk sejuk beku tanpa permit sah.
Lebih 692 tan produk sejuk beku dirampas bersama kenderaan, forklift dan peralatan berkaitan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM27.14 juta.
Sementara itu, Op Taring Libas merekodkan dua kejayaan di Kuching dan Bintulu berkaitan aktiviti pemprosesan serta pengumpulan kayu tanpa permit sah.

Rampasan membabitkan kayu, kenderaan, jentera berat serta pelbagai peralatan dan mesin pemprosesan bernilai kira-kira RM11.40 juta.
Menurut Lim, Op Taring Alpha merekodkan 11 kejayaan di Miri, Julau, Kota Samarahan, Bintulu, Kuching dan Kapit berkaitan aktiviti penyimpanan serta penjualan rokok dan minuman keras yang belum diluluskan cukai Kastam.
Sebanyak 6,980 karton pelbagai jenis rokok dan lebih 17,000 liter pelbagai jenis minuman keras dirampas bersama kenderaan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3.41 juta.
Bagi Op Taring Batas/Awas, dua kejayaan direkodkan di Serian berkaitan penyelewengan minyak diesel.
Rampasan membabitkan minyak diesel, kenderaan, tangki penyimpanan dan peralatan berkaitan bernilai kira-kira RM304,298.
Op Taring Bravo pula mencatatkan satu kejayaan di Kuching membabitkan penyimpanan minyak diesel tanpa permit sah, dengan rampasan 16,000 liter diesel, sebuah tangki SKID dan tiga peralatan lain.
“Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada jabatan serta agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Lim berkata, Briged Sarawak PGA akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras kegiatan menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan, ketenteraman dan kepentingan Sarawak terus terpelihara.
Oleh Connie Chieng




