KANOWIT: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat diseru memainkan peranan lebih proaktif sebagai barisan hadapan dalam membantu kebajikan warga emas melalui pengaplikasian ilmu yang diperoleh menerusi Kursus Penjagaan Asas Warga Emas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong berkata, peserta yang mengikuti kursus berkenaan perlu menjadi kumpulan rujukan utama atau first responders apabila berdepan situasi kecemasan atau keperluan penjagaan melibatkan warga emas di kawasan masing-masing.
“Saya menyeru barisan KMKK yang hadir untuk mengaplikasikan ilmu ini secara bersasar.
“Kenal pasti profil warga emas di kampung masing-masing. Jadikan profil ini sebagai asas untuk memantau kebajikan, tahap kesihatan dan keperluan sokongan logistik mereka secara berkala,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kursus Penjagaan Asas Warga Emas Siri 2/2026 di Dewan Pejabat Daerah Kanowit, hari ini.
Beliau berkata, penglibatan aktif KMKK dan NGO amat penting dalam memastikan setiap warga emas mendapat perhatian sewajarnya, terutama di kawasan luar bandar yang berdepan peningkatan populasi golongan berkenaan.
Selain membantu dari aspek kebajikan, Allan turut menggesa NGO memperkukuh peranan sebagai nadi sokongan sosial dengan menganjurkan aktiviti yang mampu meningkatkan kesejahteraan mental dan emosi warga emas.
“Gunakan kemahiran psikologi dan emosi yang telah dipelajari sepanjang dua hari ini untuk mewujudkan aktiviti sihat di peringkat komuniti agar warga emas kita kekal aktif, cerdas dan yang paling utama, tidak berasa terasing atau sunyi di rumah panjang,” katanya.
Menurut beliau, penganjuran kursus tersebut bertepatan dengan perubahan demografi Sarawak yang menyaksikan pertambahan bilangan warga emas, sekali gus memerlukan lebih ramai individu terlatih dalam aspek penjagaan dan sokongan komuniti.
Beliau berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2025, Kanowit merupakan antara daerah yang berada dalam fasa menua akibat penghijrahan golongan muda ke bandar, menyebabkan kebanyakan rumah panjang dan kampung di kawasan DUN Machan didiami warga emas.
Kursus Penjagaan Asas Warga Emas Siri 2/2026 itu disertai 60 peserta terdiri daripada KMKK, Tuai Rumah, NGO, Pasukan Sukarelawan Kebajikan (PSK) dan komuniti setempat, dengan modul yang diperkemas bersama pakar dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).





