KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan tampil sebagai panelis webinar bertajuk ‘Post COVID-19: Sarawak The New Normal’, pada Selasa ini jam 10.00 pagi menggunakan platform dalam talian yang disebut Webinarjam yang dihoskan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC), Pejabat Wilayah Sarawak.
Webinar akan dikendalikan oleh Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Dato’ Abdul Latif Abu Seman.
Objektif sesi webinar adalah untuk berkongsi pandangan Ketua Menteri mengenai Post COVID-19, ‘New Normal’ dan perubahan ke arah memastikan bahawa Post COVID-19 berkelanjutan dan inklusif.
Sesi webinar juga akan menyediakan platform untuk sektor awam dan swasta untuk berkongsi pandangan dan idea mereka mengenai era pasca Covid-19.
Di akhir webinar, Abang Johari bakal merasmikan pelancaran Sarawak Productive.
Antara program dalam Sarawak Productive adalah satu siri webinar untuk memberi kesedaran mengenai transformasi digital bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Webinar akan membantu perniagaan beroperasi di platform digital serta mempromosikan pemadanan perniagaan antara penyedia perkhidmatan digital dan usahawan.
Program Sarawak Productive terdiri daripada perjalanan transformasi Keunggulan Perniagaan, pendekatan holistik untuk organisasi yang bermaksud meningkatkan prestasi mereka ke tahap berikutnya iaitu memperkukuhkan penglibatan dan mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pihak berkepentingan serta berkembang di pasaran yang kompetitif.
Program Inovasi Intervensi Perusahaan (EIIP) juga merupakan program yang meningkatkan produktiviti dan kualiti di peringkat perusahaan.
Program tersebut akan membantu perusahaan melalui pendekatan langsung dan memberikan campur tangan dalam amalan yang ada bagi membantu menyelesaikan masalah produktiviti dan kualiti.
Untuk lebih membantu perniagaan, Perkhidmatan Penasihat Maya Perniagaan bakal dilancarkan pada Ogos nanti, perkhidmatan nasihat maya ini terdiri daripada Webinar Perniagaan, Klinik Penasihat Maya Perniagaan, Mentoring Maya Perniagaan, Penyelarasan Maya Perniagaan dan Latihan Maya dengan objektif untuk membawa aktiviti produktiviti kepada setiap perniagaan yang menghubungkan ke internet.
Selain itu, inisiatif oleh Good Regulatory Practices (GRP) oleh MPC mengenai reformasi pentadbiran peraturan akan lebih menyokong aspirasi negara untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan progresif.
Sasaran seramai 1,000 peserta dari sektor awam dan swasta serta rakyat dijangka akan mengikuti sesi webinar. Untuk mendaftar, sila layari https://www.bicara.live/sarawak.
Oleh Diyana Samsuddin