Shila Amzah rancang berhijrah ke China hujung tahun depan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENYANYI Popular Shila Amzah bergambar selepas sidang media Konsert KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama di sini, semalam. Foto BERNAMA

PUCHONG: Bagi memenuhi tuntutan kerjayanya yang semakin berkembang di China, penyanyi popular Shila Amzah merancang untuk berhijrah ke negara Tembok Besar itu pada hujung tahun depan.

Shila yang pernah mencipta nama di China selepas menjuarai pertandingan realiti Asian Wave di Shanghai pada 2012 berkata perancangan berkenaan dibuat bagi membolehkan suami dan anak-anaknya sentiasa berada bersama-samanya, sekali gus mengurangkan tempoh berjauhan setiap kali beliau perlu ke luar negara atas urusan kerja.

“Saya bakal menandatangani satu lagi kontrak, tetapi tidak boleh mendedahkan tempoh atau projeknya. Apa yang boleh saya katakan, kontrak itu agak panjang dan sebab itu kami mempunyai sasaran untuk berpindah ke sana.

PENYANYI Popular Shila Amzah (kanan) pada sidang media Konsert KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama di sini, semalam. Foto BERNAMA

“Berulang-alik memang memenatkan. Setiap kali perlu ke luar negara selama tiga atau empat hari, saya terpaksa meninggalkan anak-anak. Itu antara pengorbanan yang perlu saya lakukan, tetapi dalam masa sama, saya mahu anak-anak melihat mama mereka dan berasa bangga,” katanya pada sidang media Konsert KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama di sini, semalam.

Menurut pelantun lagu Patah Seribu itu, suaminya, Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, turut memberikan sokongan terhadap perancangan berkenaan memandangkan pekerjaannya fleksibel dan membolehkannya bergerak mengikut keperluan keluarga.

Pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah itu pernah menetap di China selama kira-kira lapan tahun selepas mula mengembangkan kerjayanya di negara berkenaan pada 2012 juga  menolak tanggapan rancangan untuk kembali ke republik berkenaan dibuat kerana dirinya lebih dihargai di sana berbanding di Malaysia.

“Bukan soal di mana saya lebih dihargai. Di mana ada rezeki saya, di situlah saya pergi. Ini juga tidak bermakna saya melupakan peminat di sini kerana saya masih menghasilkan album dan mengadakan konsert di Malaysia. Saya cuba mencari keseimbangan,” katanya.

PENYANYI Popular Shila Amzah bergambar selepas sidang media Konsert KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama di sini, semalam. Foto BERNAMA

Dalam pada itu, bekas peserta Gegar Vaganza musim kesembilan itu sedang menghasilkan album penuh berbahasa Mandarin khusus untuk pasaran China yang dijangka dilancarkan tahun depan.

Bakal menginjak usia 36 tahun pada Ogos ini, Shila berkata pengalaman lalu yang pernah menghalang langkahnya tidak mematahkan semangat untuk memulakan fasa baharu dalam kerjaya.

“Peluang untuk kembali ke China bukan mudah, tetapi saya mengingatkan diri bahawa kita boleh memulakan sesuatu yang baharu tidak kira pada usia berapa pun,” katanya.

PENYANYI Popular Shila Amzah pada sidang media Konsert KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama di sini, semalam. Foto BERNAMA

Dalam perkembangan lain, Shila bakal mengadakan Konsert KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama pada 15 Ogos ini, bermula 7 malam di Arena of Stars, Resorts World Genting.

Konsert anjuran Pink Asia Entertainment itu akan menyaksikan beliau mempersembahkan 40 lagu merangkumi lagu Mandarin, Melayu dan Inggeris yang mewarnai perjalanan seninya sepanjang 25 tahun.

“Untuk menyampaikan 40 lagu itu, saya perlu membuat persediaan seperti seorang atlet. Saya bersenam hampir setiap hari, berada di studio setiap hari dan meneliti setiap susunan muzik supaya persembahan nanti berjalan sempurna,” katanya yang turut terlibat sepenuhnya dalam proses praproduksi.

Konsert itu juga katanya akan memperlihatkan sisi berbeza dirinya menerusi persembahan lebih bertenaga dan elemen tarian, selain lagu balada yang sinonim dengannya.

PENYANYI Popular Shila Amzah pada sidang media Konsert KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama di sini, semalam. Foto BERNAMA

Beliau juga bakal mendedikasikan segmen khas sebagai penghormatan kepada tiga legenda muzik tempatan dan antarabangsa yang banyak memberi inspirasi sepanjang 25 tahun kerjayanya iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Michael Jackson dan Fish Leong, bintang kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Taiwan.

Katanya, konsert berkenaan turut menampilkan artis tempatan daripada pelbagai genre antaranya Mimi Fly, Hael Husaini, Kidd Santhe, DJ Fuzz dan Balan Kashmir, selari dengan tema “KITA” yang meraikan kepelbagaian bakat tempatan, selain memberi peluang kepadanya meneroka genre muzik yang jarang dibawakan sebelum ini.

Tiket berharga antara RM149 hingga RM599 boleh didapati menerusi laman web www.rwgenting.com dan www.ticket2u.com.my. – Bernama