Foto ikonik Messi mandikan Yamal kembali panaskan final Piala Dunia

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
SESI fotografi antara Messi dan Yamal dirakam pada Disember 2007 bagi menjayakan projek kalendar kebajikan anjuran UNICEF dengan kerjasama Yayasan FC Barcelona. – Foto Agensi

ATLANTA: Lionel Messi dan Lamine Yamal bakal bertemu awal pagi Isnin ini (waktu Malaysia) di Stadium MetLife, New Jersey dalam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 dengan gelaran juara dunia menjadi taruhan.

Pertemuan pertama kedua-dua bintang bola sepak itu berlaku dalam suasana yang jauh berbeza dan hanya seorang daripada mereka yang mengingatinya.

Pada Disember 2007, Messi yang ketika itu berusia 20 tahun diperkenalkan kepada Yamal yang baru berusia lima bulan dalam satu sesi bergambar kalendar amal anjuran Yayasan FC Barcelona bersama akhbar sukan Sepanyol Diario Sport.

Acara itu merupakan tradisi tahunan kelab La Liga tersebut yang menampilkan pemain bergambar bersama kanak-kanak.

Jurugambar bebas Joan Monfort memberitahu Associated Press pada 2024 bahawa keluarga Yamal memenangi cabutan bertuah yang diadakan dengan kerjasama UNICEF untuk membolehkan anak mereka bergambar bersama pemain Barcelona.

Mereka tidak menyangka siapakah pemain yang akan terlibat dan sejarah yang bakal tercipta.

Bayi Yamal ditemani ibunya di bilik persalinan pelawat di Camp Nou pada musim luruh 2007.

Di situ terdapat sebuah tab mandi plastik berisi air sabun dan seorang bayi yang bakal menjadi bintang bola sepak dunia tanpa mengetahui apa yang sedang berlaku.

Messi yang bersifat lebih pendiam dikatakan agak kekok untuk berinteraksi dengan bayi tersebut.

“Dia baru keluar dari bilik persalinan dan tiba-tiba berada di bilik lain yang mempunyai tab plastik penuh air serta seorang bayi di dalamnya,” kata Monfort.

“Keadaannya agak rumit. Pada mulanya dia pun tidak tahu bagaimana hendak memegang bayi itu.”

Foto-foto itu kembali tular di internet dua tahun lalu apabila bapa Yamal memuat naiknya di Instagram dengan kapsyen: “permulaan dua legenda.”

“Ia sesuatu yang luar biasa,” kata Monfort kepada The Athletic pada 2024.

“Ketika itu, tiada siapa dapat membayangkan bayi ini akan menjadi seperti sekarang dan tiada siapa juga dapat menjangka Messi akan menjadi seperti dirinya hari ini.

“Kita bercakap tentang tahun 2007. Messi ketika itu baru bermula di Barcelona. Takdir memainkan peranan besar dalam perkara seperti ini.”

Pada waktu tersebut, Messi sudah beberapa tahun bergelar pemain profesional dan telah memenangi dua kejuaraan liga serta Liga Juara-Juara UEFA.

Tujuh tahun kemudian, Yamal menyertai akademi remaja terkenal Barcelona, La Masia, untuk memulakan perjalanan menjadi pemain profesional.

Pada April 2023, Yamal yang berusia 15 tahun membuat penampilan sulung bersama Barcelona dengan memakai jersi nombor 10 yang pernah disarung Messi.

Lima bulan kemudian, beliau dipanggil menyertai skuad kebangsaan Sepanyol. Musim panas berikutnya, Yamal menjadi tonggak penting kejayaan Sepanyol menjuarai Euro 2024.

Kini, dua tahun kemudian, Yamal berpeluang melengkapkan kejayaan berganda dengan menjuarai Piala Dunia menentang lelaki yang pertama kali ditemuinya ketika duduk di dalam tab mandi. – Agensi