MIRI : Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum insiden seorang pesakit dari Belawai yang mendakwa dinafikan daripada menggunakan perkhidmatan ambulan Klinik Kesihatan pada 18 Januari lalu setelah terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni (gambar) berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu.
“Kita meminta agar pengadu membuat aduan secara rasmi bagi membolehkan KKM melakukan siasatan dan tindakan lanjut.
“KKM telah mendapat maklumat mengenai kejadian itu dari Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak,” katanya ketika ditemui selepas melawat Anjung Kasih di Hospital Miri hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sibuti berkata KKM akan melihat dari semua sudut bagaimana dan mengapa insiden itu boleh berlaku.
Sehubungan itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada warganet yang telah berkongsi kejadian itu di media sosial.
Pada 20 Januari lalu, satu akaun di facebook mendakwa seorang warga emas lelaki berusia 72 tahun dinafikan menggunakan perkhidmatan ambulan dari sebuah klinik kesihatan di daerah Belawai selepas terlibat satu kemalangan.
Susulan keengganan pihak klinik kesihatan itu menghantar mangsa menggunakan ambulan, pemilik akaun dan rakan-rakannya menghantar sendiri mangsa ke Hospital Sibu yang memakan masa dua jam perjalanan.
Oleh Adum Liu