KUCHING: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyasarkan hasil jualan keseluruhan sebanyak RM1 juta daripada pelaksanaan program Biznetwork Fiesta 2024 untuk Zon Borneo dan Zon Selatan di Johor Bahru.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata sebanyak RM500,000 hasil jualan telah berjaya dijana oleh para usahawan di tiga lokasi sebelum ini.
Menurutnya, hasil jualan itu merangkumi Zon Utara – Bukit Jambul, Pulau Pinang, Zon Tengah – Shah Alam, Selangor dan Zon Timur – Kota Bharu, Kelantan.
”Saya harapkan, untuk Zon Borneo dan Zon Selatan di Johor Bahru minggu ini, kita mampu untuk menggenapkan jumlah tersebut menjadi RM1 juta.
”Sebanyak RM 250,000 dari Angsana Mall (Johor) dan RM250,000 dari Plaza Merdeka di sini. Insya-Allah, tidak ada yang mustahil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pelan Tindakan Pemerkasaan Wanita Komuniti MARA di Plaza Merdeka, di sini hari ini.
Program itu yang berlangsung dari 29 Disember hingga 1 Disember 2024 bagi Zon Borneo melibatkan seramai 100 usahawan dari negeri Sarawak dan Sabah (20 secara fizikal dan 80 secara atas talian).
Melalui program tersebut, usahawan yang terlibat dijemput untuk mengadakan jualan dan sesi membina rangkaian dengan orang ramai secara fizikal dan atas talian.
Sementara itu, Rubiah berkata usahawan di bawah MARA perlu memanfaatkan kepentingan platform e-dagang dalam memperkasa kaedah perniagaan mereka.
Katanya, platform itu tidak hanya mengubah cara perusahaan beroperasi malah membantu mereka meluaskan jangkauan pasaran.
Oleh RYNNA SHA’ERRA