KUCHING: Komuniti Jalanan Mesra (KJM) diharap lebih aktif menjaga kebersihan dan keamanan persekitaran, di samping membina nilai kebersamaan dan kesepaduan sosial.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata ini bertujuan memperkukuh kapasiti masyarakat tempatan bagi mewujudkan kejiranan yang lebih aman, bersih, dan harmoni.
“Kita perlu berfikir secara kreatif untuk memastikan kepimpinan dalam KJM dapat memainkan peranan penting dalam mengukuhkan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damaixberkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Bengkel Pemerkasaan KJM anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di sini, hari ini.
Katanya, DBKU komited melaksanakan pentadbiran yang seiring dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), dengan penekanan terhadap keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Ia bertepatan dengan usaha kita untuk melibatkan semua golongan dalam aktiviti DBKU serta menjaga kemampanan alam sekitar. Bengkel ini, misalnya, bertujuan memperkukuh kapasiti masyarakat tempatan bagi mewujudkan kejiranan yang lebih aman, bersih, dan harmoni,” tambahnya.
Beliau yakin bengkel tersebut mampu meningkatkan sinergi antara DBKU dan masyarakat setempat, mempersiapkan mereka untuk bertanggungjawab dalam perkhidmatan yang lebih berkesan.
“Melalui perkongsian ilmu dalam bengkel ini, kita harap semua peserta dapat memberikan perkhidmatan yang ikhlas dan mesra kepada masyarakat. Semoga inisiatif ini membawa manfaat jangka panjang,” katanya.
Oleh SHAHRUL QAIZAT