Kisah sepasang selipar diikat tali ‘peneman setia’ di tanah suci

Facebook
WhatsApp
DALAM langkah yang tidak lagi segagah dahulu, seorang warga emas dari Seri Kembangan, Selangor terus mengharungi perjalanan di Tanah Suci dengan perlahan namun penuh ketabahan, ditemani sepasang selipar yang diikat dengan tali sebagai lambang kasih seorang suami yang tidak pernah luntur. Foto BERNAMA

MAKKAH: Dalam langkah yang tidak lagi segagah dahulu, seorang wanita warga emas dari Seri Kembangan, Selangor terus mengatur perjalanan di Tanah Suci dengan perlahan, namun penuh ketabahan ditemani sepasang selipar yang diikat dengan tali, simbol kasih seorang suami yang tidak pernah putus.

Bagi Rossilawati Abdul Razak, 65, selipar itu bukan sekadar alas kaki, sebaliknya menjadi “peneman setia” yang menguatkan setiap langkahnya ketika menunaikan ibadah haji, meskipun tubuhnya sudah lama diuji penyakit berat.

Kisah menyentuh hati itu bermula di Madinah apabila sandal khas bagi mengimbangi postur badan yang dipakainya tiba-tiba terputus, sekali gus menyukarkan pergerakannya yang terbatas akibat kaki kanan yang lebih pendek berbanding kaki kiri.

Dalam keadaan serba sukar itu, suaminya Kamaruzaman Othman, 66, tidak menunggu lama. Beliau membeli beberapa pasang selipar sebelum mengikat dan mengubah suainya menggunakan tali mengikut ketebalan tapak yang sesuai dengan keadaan kaki isterinya yang tidak lagi seimbang.

“Dia ikat selipar itu supaya saya boleh berjalan … itulah yang bantu saya bergerak,” katanya di sini hari ini.

Di sebalik kisah selipar itu, tersimpan perjalanan hidup penuh ujian bekas guru itu yang pernah melalui situasi di ambang maut.

Rossilawati disahkan menghidap kanser rektum tahap empat pada penghujung 2014, sebelum menjalani 25 sesi radioterapi dan kemoterapi kerana ketumbuhan yang terlalu besar untuk terus dibedah.

“Alhamdulillah, sampai hari ini saya masih bertahan dan dah bebas daripada kanser itu,” katanya sebak.

DALAM langkah yang tidak lagi segagah dahulu, seorang warga emas dari Seri Kembangan, Selangor terus mengharungi perjalanan di Tanah Suci dengan perlahan namun penuh ketabahan, ditemani sepasang selipar yang diikat dengan tali sebagai lambang kasih seorang suami yang tidak pernah luntur. Foto BERNAMA

Namun, penyakit itu meninggalkan kesan kekal apabila kanser merebak ke tulang paha, menyebabkan struktur tulangnya rapuh dan tidak seimbang, selain komplikasi buah pinggang akibat rawatan radioterapi yang memerlukan pemasangan stent di saluran kencing serta penggunaan beg kolostomi.

Dalam tempoh itu juga, kehidupan hariannya berubah sepenuhnya. Berat badannya pernah susut daripada 80 kilogram (kg) kepada 42 kg, satu detik yang diingatinya sebagai fasa paling lemah dalam hidup.

Rossilawati berkata sepanjang rawatan dan tempoh kesakitan, suaminya sentiasa berada di sisi menjaga dan memberikan semangat tanpa jemu.

“Kalau tak ada suami saya, saya rasa saya pun tak ada,” katanya.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata walaupun telah membuat rayuan sejak 2016, namun peluang menunaikan haji bersama isterinya adalah sesuatu yang tidak pernah mereka bayangkan memandangkan keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan.

“Bila keputusan pemeriksaan kesihatan keluar, memang kami rasa peluang itu sangat tipis. Kami pun tak berani nak cerita pada sesiapa sebab takut kecewa.

“Tapi bila Tabung Haji minta pasport, urusan Nusuk semua berjalan, masa itu baru kami rasa, mungkin memang Allah nak jemput kami berdua,” katanya.

Kamaruzaman berkata walaupun isterinya terpaksa menggunakan kerusi roda bagi sebahagian ibadah, namun mereka tetap semangat untuk memastikan rukun Islam kelima ini terus dilaksanakan sebaik mungkin.- Bernama

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman